Pertubuhan hak asasi manusia, Suaram menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menangani kes-kes yang berkaitan dengan kritikan terhadap kerabat diraja Johor dan pasukan bola sepak negeri itu.
Ini termasuk menerima ancaman dan ugutan serta kesukaran mendapatkan peguam di Johor untuk membela pengkritik.
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata pihaknya sendiri menerima sekurang-kurangnya 13 kes ugutan pada separuh pertama 2016.
Semua kes itu disiasat atau didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata pertubuhan berkenaan juga mengamalkan langkah berjaga-jaga tambahan apabila mengendalikan kes seumpama itu.
"Kita terpaksa lebih berhati-hati dengan kenyataan-kenyataan. Kami cuba untuk mempertahankan kebebasan bersuara (pengkritik) tetapi kami tidak mahu terperangkap dan perlu diselamatkan.
"Anda boleh membaca komen-komen terhadap Suaram di laman web dan Facebook kami. Ramai yang mengancam kami.
“Seorang pengguna menyoal: Kamu mahu berperang dengan putera kami?" katanya pada sidang akhbar ketika melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia 2015 di Kuala Lumpur hari ini.
Sevan ditanya mengenai cabaran yang dihadapi Suaram apabila mengendalikan kes-kes berkaitan Johor itu.
Beliau berkata Suaram terpaksa mendapatkan peguam dari Kuala Lumpur untuk membantu kerana ia adalah sukar untuk mendapatkan peguam Johor bagi menangani kes-kes sensitif berkenaan.
