Menteri: Penolakan sekolah kebangsaan boleh ancam perpaduan nasional

   

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah menolak sekolah kebangsaan, yang menjadi tulang belakang sistem pendidikan, boleh membawa kepada pemisahan sosial dan akhirnya mengancam perpaduan nasional.

"Pengalaman di peringkat antarabangsa mengajar kita bahawa sekiranya sekolah awam sesebuah negara mula merosot, dan sekiranya orang berada menjauhinya dan memilih institusi pendidikan lain, maka pendidikan akan lebih memecah-belahkan daripada menyatu-padukan," katanya.

Bernama melaporkan, dalam ucapannya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Kesembilan di Petaling Jaya hari ini, beliau berkata, berikutan itu, sekolah-sekolah akan mula memperkukuh keistimewaan daripada membuka peluang kepada semua.

Manakala kanak-kanak pula, katanya, akan disekolahkan mengikut identiti kumpulan yang sempit daripada dilatih dalam kewarganegaraan yang berbilang budaya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tetap tegas menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan bagi semua rakyat Malaysia dan dasar kementerian akan digubal ke arah pencapaian matlamat itu.

"Usaha ini mempunyai kepentingan nasional. Pengalaman dari seluruh dunia menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang sihat, walaubagaimana pelbagai sekalipun, mestilah diasaskan kepada sekolah kebangsaan.

"Sekolah kebangsaan adalah tulang belakang kepada sistem persekolahan kita. Ia merupakan asas kepada sistem sekolah awam di negara ini," katanya.

Memorandum

Menurutnya lagi, langkah kerajaan untuk menggalakkan sekolah kebangsaan bukan untuk mewujudkan permusuhan antara etnik atau antara sistem, tetapi sebaliknya untuk menggalakkan sekolah-sekolah Malaysia berkembang maju.

Ucapan Hishammuddin itu, yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia, jelas merujuk kepada isu yang timbul berikutan pengumuman MCA akan menghantar memorandum kepada kerajaan meminta supaya bilangan sekolah Cina ditambah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting dilaporkan berkata, permintaan itu dinyatakan sebagai teras utama di dalam memorandum MCA kepada kerajaan bagi merangka RMK-9

Terdapat dua aliran dalam sistem pendidikan Malaysia, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Majoriti pelajar Melayu belajar di sekolah kebangsaan manakala SJK pula terdiri daripada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Berikutan itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu akan terus menentang sebarang usaha yang boleh mendorong ke arah polarisasi kaum di negara ini.

Tegasnya, dasar kerajaan jelas bahawa sekolah kebangsaan harus menjadi pilihan utama ibu bapa kerana ia merupakan ejen peningkatan integrasi kaum.

Semangat Barisan Nasional

Sebaliknya, beliau berkata, Pemuda Umno, akan menyokong jika MCA meminta agar mutu pengajaran bahasa Cina di sekolah-sekolah kebangsaan dipertingkatkan.

Sebagai reaksi kepada kenyataan Khairy yang juga menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, lamanweb rasmi MCA versi bahasa Cina menyifatkannya sebagai 'reaksi keterlaluan".

Parti itu juga Khairy Jamaluddin supaya belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimana menangani tuntutan MCA supaya ditambah bilangan sekolah Cina.

Najib mahu menangani isu tersebut secara tertutup dalam semangat Barisan Nasional di mana MCA merupakan parti komponen kedua terbesar.

Kenyataan MCA dalam bentuk ulasan itu ditulis oleh bahagian publisiti pusatnya mengkritik Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut membantah cadangan MCA supaya dibina lebih banyak sekolah Cina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Ia juga menyifatkan Khairy sebabai'pendatang baru politik' yang terlampau sensitif, dan tidak memberi perhatian kepada Perlembagaan Persekutuan dan hak kaum-kaum etnik kepada pendidikan bahasa ibunda mereka.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In