Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan lidah rasmi PAS Harakah sedang meneroka kemungkinan menyelesaikan saman fitnah yang difailkan ke atas laporan mengenai anak tirinya Riza Aziz dan 1MDB.
Kedua-dua pihak telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mendengar perkara itu semasa pengurusan kes hari ini.
Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Julai ini untuk pihak terbabit memaklumkan mahkamah hasil rundingan mereka bagi menyelesaikan saman tersebut, kata peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Najib mempunyai dua rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung kes ini iaitu - meminda pernyataan tuntutannya untuk memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa beliau telah dibersihkan daripada salah laku MDB; dan permohonan Najib dalam kes itu tanpa memanggil saksi.
Kedua-dua permohonan ditolak oleh Hakim Hue Siew Kheng.
Hakim Hue membuang permohonan Najib untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan kenyataan Apandi dan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 7 April.
Pada 23 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi itu juga menolak permohonan Najib di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Katanya, alasan pihak pembelaan bahawa qualified privilege atau hak istimewa dan komen adil adalah sesuatu yang perlu dibicarakan dan oleh itu tidak boleh diputuskan melalui penghakiman secara terus.
Minggu lalu, Najib dilapor membenarkan penangguhan prosiding perbicaraan yang dijadualkan bermula pada hari Khamis, selepas peguam Harakah bersetuju bahawa kedua-dua rayuan masih belum didengar dan diputuskan.
