Noh: Pelajar bekas tahanan ISA boleh rayu masuk universiti
Lima pelajar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan semalam, boleh membuat rayuan untuk memasuki universiti tempatan dengan menulis terus kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri, jika mereka mendapat tawaran.
Lima pelajar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan semalam, boleh membuat rayuan untuk memasuki universiti tempatan dengan menulis terus kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri, jika mereka mendapat tawaran.
Menurut Bernama , Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar, berkata, kementeriannya sedia pertimbangannya kerana mereka telah dibebaskan dan kini diletakkan di bawah Akta Kediaman Terhad mulai semalam.
"Kalau ikut sekatan yang dikenakan sekarang, mereka tidak boleh keluar dari kawasan itu, mereka mesti laporkan diri. Jadi kalau mereka tidak buat, mereka boleh buat Program Jarak Jauh," katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah Maal Hijrah di sini malam tadi.
Empat pelajar terbabit mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini manakala seorang lulus cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Mereka ialah Abi Dzar Jaafar, 18; Eddy Erman Shahime, 19; Mohd Radzi Abdul Razak, 19, dan Mohd Ikhwan Abdullah, 19, semuanya lulus cemerlang SPM manakala Mohamad Akil Abdul Raof, 21, mengambil STPM.
Masih diawasi
Mereka adalah antara 13 pelajar Malaysia di Pakistan yang ditangkap pihak berkuasa negara itu pada 20 September 2003 kerana dikaitkan dengan rangkaian Jemaah Islamiah (JI). Sekembali mereka ke Malaysia, mereka ditahan mengikut ISA selama dua tahun sejak November 2003.
Turut dibebaskan semalam ialah bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Min Wan Mat yang juga diletakkan di bawah Akta Kediaman Terhad.
Menurut Noh lagi, jika para pelajar itu didapati tidak lagi menjadi ancaman, mereka boleh menjadi "orang bebas" penghujung tahun ini.
"Mereka ditahan atas dasar keselamatan. Dulu mereka ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan, jadi bila mereka balik, kita tahan mereka. Masa mereka ditahan pun mereka diberi tuisyen.
"Apabila mereka dilihat tidak lagi mengancam kepada keselamatan negara, mereka dibebaskan tetapi masih dengan sekatan, bermakna mereka masih diawasi sehingga hujung tahun ini. Kalau pergerakan mereka okay, mereka akan jadi orang bebas selepas hujung tahun ini," katanya.
Noh berkata kerajaan memang sentiasa membuat pemantauan terhadap aktiviti pelajar di luar negara bagi mencegah perbuatan tidak diingini.

