DAP kenal pasti tiga projek bermasalah di Melaka

   

DAP telah mengenalpasti tiga projek di Melaka yang didakwanya dijalankan tanpa mengikut prosedur pemantauan yang ditetapkan dan ini merugikan dan mengancam keselamatan awam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata tiga projek tersebut ialah Projek Lebuh Raya Sungai Udang-Durian Tunggal yang melebihi nilai kontrak asal, kualiti kerja jambatan Masjid Al-Azim dan pertikaian tapak Masjid Kampung Minyak.

Beliau berkata, Lebuh Raya Sungai Udang-Durian Tunggal yang sepatutnya siap pada 31 Mei lalu, gagal disiapakan menyebabkan ia tidak dapat diserahkan kepada kerajaan pada 31 Disember lalu.

Menurut Lim, apa yang memeranjatkan ialah nilai kontrak telah melebihi nilai kontrak asal RM205.6 juta dan bertambah menjadi RM214 juta.

"Sekiranya kerja lewat, kontraktor perlu dikenakan bayaran penalti tetapi dalam kes ini adakah denda dikenakan kepada kontraktor terlibat?" soalnya dalam suratnya kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu semalam.

Guan Eng berkata, kontrak pembinaan lebuhraya tersebut diberikan kepada tiga syarikat Al-Joffrie Sdn Bhd, Revolutionary Technology Holdings Sdn Bhd dan Seri Siantan Sdn Bhd secara rundingan terus dengan harga RM205.6 juta.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Betty Chew Gek Cheng pada 12 Mei 2003 berkata, prestasi projek tersebut memuaskan.

Timbul tandatanya

Guan Eng berkata, sehingga ini bayaran sebanyak RM205 juta telah dibayar kepada ketiga-tiga syarikat terbabit.

Menurutnya, kualiti pembinaan jambatan berhampiran Masjid Negeri Melaka Al-Azim yang berharga RM500 juta tidak memuaskan kerana lebih 10 ketul batu `slab' telah tercabut dari kaki jambatan.

Katanya, keadaan ini menimbulkan tandatanya adakah jambatan yang telah dibuka lebih setahun setengah itu, selamat untuk digunakan.

DAP, kata Lim, juga mahu Kementerian Kerja Raya menyiasat dakwaan pembinaan tapak kerja Masjid Kampung Tanjung Minyak bernilai RM2.45 juta kerana dikatakan kontraktor, dengan pengetahuan Jabatan Kerja Raya, masuk lebih awal dari tarikh penyerahan tapak 1 Mac lalu.

Beliau mahu Menteri berkenaan, Samy Vellu supaya menyiasat untuk menentukan sama ada dakwaan tersebut, dan jika benar, apaka tindakan yang boleh diambil bagi kesalahan berkenaan.

Beliau juga tidak puas hati dengan kegagalan Plus untuk mengambil tindakan segera ke atas satu kemalangan di KM210 menyebabkan berlaku kesesakan jalanraya selama lima jam pada Jumaat lalu.

"Beribu-ribu pengguna terperangkap dan kegagalan Plus itu tidak boleh diterima kerana sepatutnya ia mampu memberikan perkhidmatan lebih baik setelah kadar tol dinaikkan sebanyak 10 peratus baru-baru ini," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In