Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM nafi Abu Kassim dipaksa berhenti
Diterbitkan:  Jun 23, 2016 12:56 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohammad tidak diberi tekanan oleh mana-mana pihak supaya melepaskan jawatannya itu.

Dalam satu kenyataan media, suruhanjaya itu berkata ini adalah kali ketiga Abu Kassim memohon bagi mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018.

“Tiada tekanan dibuat oleh mana-mana pihak terhadap keputusan Tan Sri Abu Kassim bagi memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018.

“Permohonan kali ketiga ini dibuat selepas Tan Sri Abu Kassim menerima tawaran daripada International Anti Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia,” katanya.

Menurut SPRM, Abu Kassim sebelum ini mengemukakan permohonan yang sama namun kerajaan memintanya untuk meneruskan perkhidmatan.

Malaysiakini sebelum ini memetik sumber yang rapat dengan perkara itu mendakwa bahawa Abu Kassim diberi tekanan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk mengosongkan jawatannya, manakala Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull juga dikatakan akan bersara bulan depan.

Hari terakhir Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya adalah pada 1 Ogos 2016.

SPRM berkata Abu Kassim selepas tarikh berkenaan akan turut memberi tumpuan kepada tugas beliau sebagai ahli lembaga di universiti berkenaan selain menunaikan tanggungjawab sebagai pensyarah, penyelidik serta memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Tan Sri Abu Kassim mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia yang telah meluluskan permohonannya bagi meneruskan perkhidmatannya di sebuah akademi pengajian berkaitan jenayah rasuah pertama di dunia,” katanya.

Malaysiakini juga melaporkan tiga panel utama SPRM - Panel Penilaian Operasi (ORP) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (CCPP) serta Jawatankuasa Khas di Pencegahan Rasuah dibiarkan kosong.

Antara mereka yang disebut-sebut akan menggantikan Abu Kassim adalah pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara Datuk Dzulkefli Ahmad, meskipun Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikannya awal tahun ini.

Dzulkifli kini adalah Ketua Pengarah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan menurut sumber beliau berperanan dalam membantu membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS