Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Setiap kali muncul perkataan "sastera", "puisi", "sasterawan", "A Samad Said" atau "Usman Awang", bagi sesetengah orang akan terpacul secara automatik satu ungkapan lain - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Betapa besarnya pengaruh dan jasa DBP kepada kelompok masyarakat pembaca di negara ini sejak penubuhannya 60 tahun silam.

Pelajar sekolah, mahasiswa, guru sekolah, artis, seniman, malah pemandu teksi atau pegawai tinggi kerajaan hari ini sebenarnya secara tidak langsung menikmati jasa DBP.

Kini pada usia 60 tahun, kewujudan DBP dimaknakan dengan menara tinggi di ibu negara, dan cawangannya di setiap zon di seluruh negara.

Antara golongan yang paling dekat dengan DBP ialah penulis. Tidak kira penulis buku teks sekolah, penulis puisi, novel atau bahan bacaan ilmiah.

Suatu masa dulu seorang penulis berkata, untuk menjadi penulis (bidang sastera) yag berjaya haruslah melalui DBP.

Tetapi itu dulu. Walaupun begitu masih ada sesetengah orang masih bergantung harap kepada badan yang diamanahkan memperjuangkan bahasa Melayu itu.

Penulis muda ditapis

Sebagai remaja kira-kira 15 tahun lalu, saya diyakinkan dengan fahaman sedemikian. Penulis ialah DBP, sastera juga adalah DBP. Selain DBP adalah sia-sia.

Bagaimana untuk dekat dan meraih tempat di DBP? Hantar karya ke majalah-majalah yang diterbitkannya, menyertai program semasa dan mendekati kelompok penulis yang sudah dijenamakan oleh DBP.

Selain itu, di kalangan penulis program paling popular yang diperkenalkan DBP dalam usaha melahirkan lebih ramai penulis pelapis dan berkualiti ialah Minggu Penulis Remaja (MPR).

Bengkel seminggu itu disertai remaja terpilih dari seluruh negara yang cuba berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Untuk memastikan keberkesanannya peserta ditapis dan dikesan bakatnya terlebih dahulu.

Ratusan penulis barangkali sudah bergelar mantan MPR yang menjadi anak emas dan kebanggaan DBP. Biar pun dikatakan hanya 20 peratus berjaya berdiri sebagai penulis, selebihnya mungkin masih mengikut perkembangan semasa DBP dan seputarnya.

Namun, kata pepatah Melayu sekali datang bah, sekali pasir berubah.

Kemunculan penulis-penulis muda hari ini bukan lagi melalui MPR sebaliknya hasil didikan rumah penerbitan kecil dan besar. 'Benih' itu dikatakan lebih segar dan menepati selera semasa pembaca.

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, rumah-rumah penerbitan mandiri muncul satu demi satu dengan agenda dan prinsip masing-masing.

Dua kelompok bertembung

Ia sekali gus melahirkan lebih ramai penulis dan lebih banyak karya serta memberi pilihan meluas kepada masyarakat pembaca.

Tiada lagi istilah bergantung secara mutlak pada DBP, sebaliknya mereka boleh memanfaatkan setiap ruang dan peluang yang ada di luar agensi itu untuk berlumba-lumba menerbitkan karya mereka.

Dan bagi penulis muda pula, mereka mampu menguasai sebahagian besar pasaran buku dan kesusasteraan dengan menerbitkan karya masing-masing melalui rumah penerbitan yang pelbagai itu.

Penulis baru tidak lagi tertunggu-tunggu bilakah borang MPR akan keluar untuk mencuba nasib, atau tidak perlu mengharapkan karya mereka semata-mata mendapat perhatian pengarang majalah DBP.

Lalu berlakulah pertembungan antara dua kelompok - aliran arus perdana dan mandiri (atau lebih polular dengan gelaran indie).

DBP dilabekan sebagai pihak yang menjaga setiap aspek dalam penerbitannya. Penjagaan aspek penggunaan bahasa, kandungan, sisi moral dan nilai-nilai murni antaranya menjadi pegangan serta tanggungjawab DBP.

Sebaliknya, bagi penerbit lain membawa haluan yang dilihat bertentangan dengan prinsip DBP.

Sebenarnya tidak perlu diperdebatkan secara kritikal pihak mana lebih mulia atau kurang sempurna. Kecuali perkara itu benar-benar boleh menghancurkan peradaban bangsa.

Masing-masing berada dalam posisi tersendiri dengan matlamat memeriahkan industri perbukuan negara, memberi pilihan pengguna, menyampaikan pengetahuan kepada masyarakat dan akhirnya mahu meraih untung.

Sayangnya, keadaan ini berlaku ketika DBP diusia 60 tahun. Ia adalah usia bersara bagi seorang kakitangan kerajaan di Malaysia.

DBP dengan pelbagai cabaran masih dilihat belum cukup mantap - malah tercungap-cungap - mengangkat pembangunan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan, sastera dan penerbitan khususnya.

Pernah bekas ketua pengarah DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, banyak yang perlu dibetulkannya di DBP.

"Memang berat amanah, tetapi yang lebih berat (adalah) membentuk pasukan kerja dan modal insannya," katanya ketika saya memperihalkan masalah dihadapi dengan badan itu.

Dirgahayu DBP!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS