Paling Popular
Terkini

Detik-detik hidup di Malaysia agak semakin membimbangkan dan merisaukan. Di mana-mana media banyak menyiarkan isu-isu mendebarkan, yang memerlukan kita memahami penulisan yang dipaparkan.

Kita perlu faham, tahu, fikir dan membuat penilaian dan membuat keputusan, yang mana baik, yang mana boleh diterima.

Kita tidak mempunyai pilihan mengenai keperluan untuk mengintegrasikan pemerhatian, pengalaman dan pengetahuan kita ke dalam idea-idea abstrak untuk dijadikan prinsip.

Kita hanya mampu membuat tanggapan sama ada prinsip-prinsip benar atau palsu, sama ada ia sebahagian pemikiran atau sabitan rasional kita.

Atau mungkin tanggapan rawak tanpa mengetahui sama ada sumber itu sahih atau tidak. Dan kita akan membuat keputusan untuk menerimanya atau pun tidak.

Setiap orang mempunyai falsafah tersendiri, walaupun sedar atau tidak, kita tidak mampu menyatakannya dalam kata-kata.

Kita hanya bertindak jika keselamatan kita tergugat. Itu pun bergantung kepada keadaan sedia ada, sama ada kita dalam gawat atau tidak. Kita perlu mempunyai prinsip untuk percaya kepada sesuatu dan mencari satu persefahaman, atau adakah kita mengambil pendapat sinis bahawa tidak perlu semua ini.

Kita tentunya tahu ada beberapa perkara yang betul dan ada yang salah. Kita sering menganggap dan melihat diri sendiri sebagai insan yang mulia, yang berhak mendapatkan kebahagiaan.

Atau mungkin sebagai salah seorang perosak yang bersalah terhadap persekitaran yang aman damai, keadilan sosial, atau isu ketuhanan.

Kita akan menentukan apa yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Kita fikir kita tahu mengenai seni apabila kita melihatnya. Dan kita mempunyai dan mengamalkan prinsip politik dan menyokong ahli politik dan parti politik tertentu. Semua ini adalah isu-isu falsafah.

Sukar membincangkan hal falsafah dan kita sering tidak rasional apabila memperkatakannya. Kita akan tersentuh secara emosi apabila membincangkan istilah ‘sentuhan kehidupan’. Istilah ‘sentuhan kehidupan’ yang dibawa oleh Ayn Rand, mencerminkan cara asas mengaitkan dunia dan orang lain.

Ia adalah perasaan intuitif anda melihat perkara sedia ada dan bagaimana sepatutnya ia berlaku.

Setiap daripada kita perlu memahami dan mempunyai keyakinannya diri untuk membolehkan kita berpijak di bumi yang nyata.

Jika tidak, kita tidak akan mempunyai idea jelas tentang apa yang kita percaya atau apa yang mendorong kita untuk membuat keputusan atau sama ada ia benar.

Kita perlu tahu apa yang kita fikirkan pada persoalan falsafah, kerana jawapan yang kita ada boleh memberi kesan kepada kehidupan. Dan sentuhan kehidupan yang menguasai negara-negara atau budaya boleh menentukan nasib masing-masing. Kita perlu tahu sama ada apa yang kita percaya adalah benar, semata-mata benar.

Berpangkal dari epistemologi

Kita perlu tahu mengenai ‘metafizik’ iaitu satu ‘teori realiti’ atau ‘teori yang sebenar’, kerana kita perlu tahu sama ada kehidupan seharian di muka bumi ini wujud, yang membezakan antara hidup untuk hari ini dengan hidup untuk hari selepasnya. Kita perlu tahu.

Kita perlu tahu sama ada alam dunia ini selamat untuk diduduki atau dalam keadaan huru-hara.

Anda membawa motokar ke bengkel dan memaklumkan kepada mekanik bahawa ia tidak boleh dihidupkan bila cuaca sejuk atau ketika pagi. Bukankah pelik jika beliau mengangkat bahu dan berkata, "Ah, biasalah, semua kereta akan menghadapi masalah tersebut? "

Tetapi apa yang tidak kena dengan kenyataan mekanik itu ? Mengapa tidak anda membuat sedikit rujukan permotoran sebelum membawa motokar ke bengkel? Anda memerlukan falsafah untuk mengetahui dan mencari jawapannya.

Epistemologi adalah satu teori ilmu. Ia mungkin kelihatan seperti jika anda tahu mengenai sesuatu, maka anda memang tahu. Jadi apa isunya? Untuk memahami dengan jelas tentang kehidupan dan konteks sendiri, seseorang itu perlu tahu menyusun maklumat, tuntutan, dan idea-idea yang diterima daripada orang lain.

Ia kemahiran yang berpangkalan daripada epistemologi.

Lagipun, pada asasnya, kita perlu tahu sama ada apa yang kita percaya adalah benar dan sememangnya benar.

Bagaimana anda tahu apabila seseorang itu membuktikan sesuatu? Ia boleh menjadi sangat penting apabila kebenaran teori saintifik, hasil pemeriksaan doktor atau hasil keputusan perbicaraan yang dipertaruhkan.

Sesetengah orang akan mengatakan bahawa kita boleh katakan apa saja yang kita mahu dan memaksudkan apa sahaja yang kita katakan atau suka memperkatakan. Adakah ini bermakna tahap penguasaan bahasa seseorang itu tidak menjadi ukuran dalam menentukan sesuatu kebenaran?

Adakah perlu kita merasa risau dan bimbang jika tidak mampu atau mempunyai intuisi mistik, atau kita perlu bimbang jika kita menerimanya?

Salah seorang jiran anda datang menziarahi dengan membawa satu surat petisyen: Racun perosak dari ladang-ladang berdekatan didapati menyerap dalam dalam bekalan air minuman di bandar anda.

Jawatankuasa penduduk mahu tindakan diambil segera terhadap peladang yang menggunakan racun perosak.

"Tiada siapa pun yang telah membuktikan bahawa bahan kimia ini tidak akan menganggu dan memberi kesan tidak baik kepada penduduk setempat, " katanya.

Tetapi kumpulan peladang pula menghantar notis maklumat memaklumkan bahan kimia racun perosak telah diuji secara saintifik dan terbukti selamat.

Kedua-dua membentangkan dan bercakap tentang bukti masing-masing, tetapi ia tidak memberi makna yang sama.

Bagaimana anda boleh menentukan mana yang betul? Anda memerlukan falsafah untuk mengetahui dan mendapatkan jawapannya.

Sains baik-jahat

Etika adalah sains yang kita gunakan untuk menilai kebaikan dan kejahatan. Kita tidak mahu melakukan kejahatan dan kita ingin berbuat baik jika kita boleh. Tetapi untuk berbuat demikian, kita perlu tahu apa yang dimaksudkan untuk menjadi baik, dan apa jenis tindakan berkecenderungan untuk mencapainya?

Orang membuat tuntutan terhadap kita: Apa yang kita terhutang dengan orang lain dan apa yang kita layak untuk diri kita sendiri? Memperlihatkan bahawasanya kita adalah bermoral dan menjalani kehidupan yang lurus dan benar dalam kehidupan, kita perlu mengelak daripada dimusnahkan oleh matlamat dan prinsip-prinsip yang bercanggah.

Anda bekerja di sebuah organisasi dan diberikan tanggungjawab yang lebih besar. Anda cuba melaksanakan kerja dengan efisien dan berharap memperoleh ganjaran bermakna untuk diri sendiri dan organisasi anda.

Namun anda seperti tidak berapa gembira dan selesa. Anda tentu berfikir; adakah anda benar-benar melaksanakan yang terbaik atau anda hanya menurut apa yang diarahkan sahaja?

Ustaz anda juga sering mengingatkan bahawasanya “manusia hidup untuk membantu orang lain”.

Adakah anda akan berasa bersalah dengan usaha anda untuk mendapatkan ganjaran yang diletakkan atau gembira dengan apa yang anda cuba lakukan? Anda tentu memerlukan ‘falsafah’ untuk mendapatkan jawapannya.

Kita semua tahu tentang amalan politik masa kini. Kita perlu memilih siapa untuk diberi undi, kerana ini dikira pelaburan masa depan dan generasi kita.

Namun, walau apa pun hujah mengenainya, tidak ramai yang mengambil berat untuk menyelesaikan sabitan asasi mengenai isu-isu politik. Adakah terdapat konflik antara kebaikan sosial dan apa yang baik untuk individu?

Adakah masyarakat bertanggungjawab menyokong golongan miskin? Untuk menyemai watak dan nilai? Bagi mengawal selia ekonomi?

Dalam hal ini, pandangan dan pemikiran kita bergantung kepada tahap kepercayaan etika, tetapi kita juga perlu idea yang jelas tentang apa sebenarnya kerajaan sedia ada sedang lakukan untuk kita dan apakah jenis aktiviti-aktiviti yang perlu dilaksanakan, jika ada.

Ketika hari mengundi, ada parti menjanjikan “setiap orang akan diberikan pekerjaan dan akan memberikan imbuhan gaji yang adil dan mengurangkan pemberhentian pekerja.”

Manakala parti lain menjanjikan “kemerdekaan dan kebebasan” dan menyatakan kehidupan kita akan tidak terjejas atau tidak tergugat walaupun imbuhan telah ditetapkan atau berlakunya ‘pemberhentian pekerja’.

Mana satukah yang dikatakan terbaik? Apakah maksud sebenarnya laungan slogan politik seperti ‘keadilan’ atau ‘kebebasan’ yang diuar-uarkan? Anda memerlukan ‘falsafah’ untuk mendapatkan jawapan.

Apa itu seni?

Kita semua menghabiskan masa dan wang pada seni: membaca buku, ke pawagam dan pertunjukan pentas dan mendengar muzik. Tetapi jika kita tidak memahami apa itu estetika, kita tidak akan dapat memahami dengan jelas mengapa kita perlukan semua ini dan apakah mengenai seni yang memenuhi citarasa ini.

Apakah perbezaan antara seni yang baik dan seni yang tidak baik? Seni menyediakan santapan rohani yang diperlukan dan dengan hanya mencuba memahaminya tanpa mengetahui apa-apa tujuan asas dan piawaian dasar hanya seperti cubaan menghidupkan motokar tanpa minyak.

Sebuah objek baru muncul di hadapan sebuah bangunan yang terkenal di bandar anda. Ia terdiri daripada papak logam diatur untuk membuat bentuk yang besar. Sebuah syarikat akhbar menulis, ia suatu arca seni yang hebat.

Tetapi anda tertanya-tanya, jika itu adalah seni, apa yang tidak? Apa sepatutnya bentuk sesebuah arca? Anda perlu falsafah untuk mendapatkan jawapannya.

Rami orang akan berfikir dan menyatakan falsafah sebagai satu bidang yang sangat abstrak dan teknikal, penuh dengan teka-teki yang hanya menarik minat ahli-ahli akademik.

Tetapi, sebenarnya, kita semua bergantung kepada kesimpulan falsafah, dan mengenal pasti falsafah sendiri adalah satu aktiviti yang sangat praktikal.

Kita semua tidak perlu menjadi ahli falsafah atau apa lagi menjadi ahli matematik. Tetapi kita hendaklah belajar untuk mendapatkannya dan kita semua harus perlu dan berupaya berfalsafah juga.

Dari situ kita akan tahu mana kedudukan kita di dunia ini dan apa yang kita patut lakukan dalam kehidupan.


AZIZI AHMAD seorang pendidik.

Lihat Komen
ADS