Malaysiakini BERITA

DAP jadi 'kafir harbi' bila M'sia di ambang PRU14

Amran Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN Kali ini merupakan kali kedua DAP dituduh sebagai kafir harbi setelah label yang sama dilemparkan oleh Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah pada bulan Ogos 2012.

Ketika kali pertama DAP dituduh sebagai kafir harbi itu, kenyataan Abdullah turut disokong oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengatakan ia tidak sama sekali bercanggah dengan Islam.

DAP, jelas Harussani, memang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Di sebalik 'ribut kecil' yang terjadi ekoran pertikaman lidah antara BN dan pembangkang mengenai isu berkenaan ketika itu, secara tiba-tiba, bertebaran gambar Abdullah yang menerima replika cek RM2 juta.

Gambar Abdullah menerima replika cek berkenaan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamad mula dikesan di internet pada bulan yang sama.

Selain Abdullah, DAP juga agak 'bernasib baik' ketika itu kerana Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu menjadi mursyidul am Pas masih hidup.

Arwah Nik Aziz telah membantu mempertahankan DAP dari dari serangan Harussani yang beliau selalu sifatkan sebagai ejen Umno.

Ironinya, tidak sampai setahun selepas 'pengumuman' kafir harbi oleh Abdullah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 pada bulan Mei 2013.

Pada pilihan raya umum tahun itu, BN kekal sebagai parti pemerintah walaupun gagal mendapat majoriti dua pertiga setelah memenangi 133 kerusi parlimen daripada 222 kawasan.

Kini, ketika negara di ambang pilihan raya umum ke-14 yang dijangka diadakan setahun dari sekarang ekoran desakan pelbagai pihak dalaman Umno setelah BN menang besar dalam pilihan raya Sarawak dan dua pilihan raya kecil berkembar baru-baru ini, label 'kafir harbi' ke atas DAP muncul kembali.

Yang berbeza cuma individu yang membuat kenyataan tersebut dan masa ketika kenyataan itu dibuat tetapi masih berlegar-legar dalam isu, intipati tuduhan, matlamat dan dilapor juga oleh akhbar yang sama.

Nama Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman terpampang di banyak dada akhbar dan portal berita dengan mempertahankan kenyataan turut merujuk DAP sebagai kafir harbi.

Kali ini, DAP mendapat gelaran sedemikian kerana menentang pembentang rang undang-undang oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan undang-undang Islam.

Terbaru, Abdul Rahman menyatakan keengganan untuk menarik balik kenyataan itu, apatah lagi meminta maaf walaupun didesak oleh pelbagai pihak yang khuatir kenyataan sedemikian boleh mencetuskan suasana huru-hara.

Malah, PERKASA sendiri berpendapat kenyataan mufti Pahang itu sebagai keterlaluan dan meminta Abdul Rahman Osman membetulkan kenyataannya itu walaupun tidak bersetuju dengan DAP.

Ini kerana, ujar Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, kenyataan itu boleh mendatangkan kekeliruan terhadap orang bukan Islam terhadap agama Islam.

Jika benar kenyataan tersebut bermotif politik, maka semua faham bahawa taktik dan modus operansi Umno masih sama seperti sebelum ini iaitu.

Umno dan BN akan menggunakan sentimen keagamaan dan perkauman bagi menimbulkan kebencian rakyat negara ini terhadap pembangkang atau sesiapa jua yang menentang mereka menjelang pilihan raya.

Pada masa yang sama, ia turut boleh dijadikan suatu pengesahan bahawa Umno telah memalu gendang perang ke arah pilihan raya umum.

Justeru, semua jentera parti hendaklah digerakkan untuk memacu gear pertama atau kedua ke arah kelajuan penuh menjelang pilihan raya negara ke-14 yang dikatakan selepas Aidilfitri 2017.

Dalam setiap lima tahun, isu hudud, kafir harbi dan anti-Islam pasti terus 'menghantui' DAP sedangkan jika benar Umno juga mahu melaksanakan hudud di Malaysia, maka sekarang adalah masa yang terbaik untuk melakukannya.

Ini kerana PAS di bawah teraju Abdul Hadi dilihat atau cuba menggambarkan kepada rakyat negara ini mereka sudah boleh duduk semeja dengan Umno untuk berbincang ke arah pelaksanaan hukum Islam tersebut.

Dengan timbulnya kembali polemik kafir harbi ini, ia turut mengesahkan bahawa DAP adalah 'musuh paling ketat' buat Umno dalam pilihan raya umum akan datang dan bukannya lagi PAS atau PKR sebagai parti bermajoriti Melayu.

DAP akan dijadikan sasaran utama kerana parti itu masih menjana kekuatan di kalangan pengundi terutama masyarakat Cina yang masih bosan dengan BN yang tidak pernah tidak dikaitkan dengan isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran.

Justeru, modus operandi seperti ini rasanya tidak menuntut pimpinan DAP untuk melenting atau bertindak balas secara berlebihan kerana rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sudah lali dengan taktik menimbulkan kebencian orang ramai terutama masyarakat Melayu terhadap parti itu.

Yang menariknya, setelah terpaculnya kenyataan sedemikian dari mulut seorang mufti, apakah Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sudi dan terus berjabat tangan dengan Lim Kit Siang yang dianggap sebagai ketua kepada semua kafir harbi.

Jika kedua-dua tokoh ahli politik Melayu ini terus bekerjasama dengan Kit Siang untuk menumbangkan Najib dan kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang, maka orang-orang Melayu 'dinasihatkan' tidak terus terpedaya dengan modus operandi jelik BN ini untuk terus menuduh DAP sebagai anti-Islam dan kafir harbi.

Jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri gagal menyahut cabaran Kit Siang untuk memberi satu contoh sehari mengenai dakwaan rasis atau anti Melayu-Islam semasa pilihan raya kecil yang lalu, ternyata taktik menggunakan individu tertentu untuk menuduh DAP sebagai sedemikian rupa tidak akan berjaya.