BERITA

Rayuan k'jaan ditolak, bekas tahanan ISA dapat RM5.16 juta

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jun 2016, 8:05 pagi

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan oleh polis dan kerajaan terhadap kuantum ganti rugi am diarahkan supaya dibayarkan kepada lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri semasa era Reformasi pada tahun 2001.

Mahkamah tertinggi negara itu juga mengekalkan pampasan RM10,000 sehari yang diberikan kepada lima mereka sepanjang tempoh penahanan mereka yang menyalahi undang-undang.

Setiap mereka dikurung dari 41 hingga 53 hari, iaitu ketika dalam jagaan polis sebelum dipindahkan ke pusat tahanan Kamunting.

Mereka adalah Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau Tian Chua, ADUN Hulu Klang Saari Sungib, aktivis Hishamuddin Rais, bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR Badrul Amin Baharom dan Badaruddin Ismail, yang lebih dikenali sebagai Pak Din.

Pampasan itu bagaimanapun tidak meliputi tempoh dua tahun ketika mereka ditahan di kem Kamunting untuk tahanan ISA, selepas dilabel sebagai pengganas pada masa itu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

"Kami menolak rayuan," kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, yang mempengerusikan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan.

"Keputusan oleh Mahkamah Rayuan dikekalkan," katanya.

Mahkamah juga menganugerahkan kos RM30,000 kepada kelima-lima mereka selepas menolak rayuan itu.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Ma'arop, Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Dengan keputusan hari ini, jumlah keseluruhan yang kerajaan perlu bayar kepada lima tahanan itu dijangka berjumlah RM5.16 juta.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.