Datin Yasmin Abdullah, isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid, meninggal dunia akibat leukemia di Pusat Perubatan Subang Jaya pagi ini. Allahyarham berusia 62 tahun.

Azmi berada di sisi isterinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.55 pagi, demikian menurut setiausaha akhbarnya Tajuddin Saman.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke kediamannya di Jalan Conlay di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Menurut laporan Bernama , Dewan Rakyat yang bersidang pagi ini merakamkan ucapan takziah kepada Azmi dan keluarga.

Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib memaklumkan berita itu kepada anggota-anggota dewan sejurus selepas sesi soal jawab tamat pada 11.20 pagi tadi.

Yasmin, yang berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya, pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di beberapa sekolah menengah dari 1967 hingga 1995.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Azmi sejak 38 tahun lepas. Empat anak mereka ialah Dr Soraya, Johan Mohriz, Ida Mariana dan Ilhan Salimee.

Selain aktif dalam Badan Amal dan Kebajikan Tanaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), Yasmin merupakan Pengerusi Pergerakan Puteri Islam Perlis sejak 1996 dan menjadi ahli seumur hidup Persatuan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) sejak 1972.