Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya mengemukakan satu dasar yang jelas dan pasti mengenai pendidikan Cina dalam tempoh tiga bulan.

Anwar yang mengetuai delegasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di majlis dialog dengan badan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong (DJZ) di Kajang semalam, berkata kerajaan mesti membuktikan kepada rakyat mengenai komitmennya dalam menggubal satu dasar pendidikan yang adil kepada semua kaum.

"Beri mereka tiga bulan. Jangan biarkan mereka terus menerus menggunakan isu itu sebagai umpan kepada masyarakat Cina sewaktu pilihanraya. Jika tidak, orang Cina akan terus menerus ditipu manakala orang Melayu pula tidak mendapat apa-apa," kata Anwar kepada pemimpin DJZ.

"Untuk kerajaan menggubal satu dasar pendidikan yang jelas, ia mesti jujur dan berani kerana isu tersebut bukan sahaja menyentuh masa sekarang, tetapi juga generasi akan datang. Tetapi BN tidak mempunyai elemen-elemen ini.

"Dan itulah sebabnya mengapa ia mempunyai pemimpin yang membuat pendirian satu hari, tetapi kemudiannya meminta pegawainya menukar pendirian itu (dalam satu kenyataan) kepada Media berbahasa Cina manakala media berbahasa Melayu yang membangkitkan isu tersebut tidak diberi peluang yang sama (untuk menyiarkan kenyataan itu), Itu cara politik kampung 50 tahun dulu!"

Anwar merujuk kepada kontroversi yang timbul baru-baru ini berhubung cadangan MCA supaya ditambah sekolah jenis kebangsaan Cina, yang kemudiannya dibantah oleh kalangan pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dilaporkan berkata, langkah tersebut tidak akan menggalakkan integrasi nasional.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Abdullah, Dr Vincent Lim kemudiannya mengeluarkan kenyataan kepada akhbar-akhbar berbahasa Cina bahawa kenyataan Perdana Menteri telah disalahfahamkan.

Kedudukan Bahasa Malaysia

Dalam ucapannya, Anwar mengakui bahawa dia pernah teragak-agak untuk melayan permintaan supaya ditambah bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina sewaktu dia masih bersama kerajaan.

"Tetapi, ketika itu kita (orang Melayu) belum yakin dengan komitmen para pendidik Cina terhadap bahasa kebangsaan. Sesetengah pegawai DJZ mengenali saya ketika itu. Saya pernah mengadakan perjumpaan dan berdebat mengenai isu yang sama ketika itu. Tapi sekurang-kurangnya saya mendengar apa yang mahu mereka katakan.

"Tetapi sekarang para pendokong pendidikan Cina tidak memperkecilkan kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan malah mengakui kepentingannya. Ini sebabnya saya percaya bahawa permintaan supaya ditambah sekolah Cina perlu dilayan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa setiap permintaan mestilah dikaji secara teliti, mengikut tuntutan setiap kaum dalam masyarakat.

Anwar juga tidak puashati dengan sistem sekarang di mana matapelajaran matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja memperkecil-kecilkan bahasa kebangsaan, tetapi juga gagal untuk mencapai matlamat asalnya untuk memperbaiki mutu penguasaan bahasa Inggeris.

Manakala, Timbalan Pengerusi Dong Zong, Dr Yap Sin Tian pula berkata jumlah sekolah Cina tidak pernah bertambah sejak kemerdekaan walaupun jumlah pelajarnya sudah bertambah berlipat ganda.

"Pada tahun 1960-an, kita mempunyai kira-kira 1,000 sekolah dengan seramai 350,000 pelajar. Dalam tahun 2005, terdapat hanya perubahan kecil dalam jumlah sekolah tersebut, walaupun jumlah pelajarnya bertambah begitu ramai hanya terdapat 1,280 sekolah untuk menempatkan lebih 640,000 pelajar," katanya.

Menurutnya, dalam setiap pilihanraya umum, Barisan Nasional akan memberi jaminan kepada masyarakat Cina untuk membenarkan lebih banyak sekolah Cina dibina, tetapi ia hanya merupakan "cakap-cakap politik sahaja".

"Kami telah menggesa pihak kerajaan supaya menggubal satu dasar yang jelas mengenai pendidikan Cina di bawah Rancangan Malaysia Ke-9. Buktikan kepada kami bahawa ianya bukan hanya merupakan alat untuk menang pilihanraya," tambahnya.

Selepas majlis dialog tertutup selama sejam dengan DJZ, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mengumumkan kedua-kedua pihak telah mencapai persefahaman berhubung beberapa isu yang berkaitan dengan pendidikan:

1) Meningkat status Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan menyekat percubaan untuk memperkecil-kecilkannya:

2) Untuk membenarkan rakyat memilih jenis pendidikan dan bahasa yang mereka mahu untuk anak-anak mereka, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar pendidikan.

3) Menyediakan lebih banyak ruang untuk pendemokrasian pendidikan, dan

4) Menuntut supaya kerajaan membuka semula dengan segera SJKC Damansara.