Shafie Apdal pula keluar Umno

   

Naib presiden Umno yang digantung keahliannya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar daripada parti itu.

Beliau yang juga adalah ahli parlimen Semporna berkata, keputusan itu dibuat berikutan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggantung keahliannya pada 24 Jun lalu.

"Perjuangan kita akan diteruskan di bumi Sabah ini. Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di Semenanjung untuk membela bangsa dan negara.

"Saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan saya, salah laku saya selama saya memimpin Umno ini," katanya.

Keputusan itu diumumkan di hadapan ribuan penyokongnya di dewan di perkarangan rumahnya di Kampung Bubul Lama, Semporna Sabah, hari ini.

Ini kali pertama beliau kembali ke Semporna sejak digantung keahlian Umno selepas pulang daripada menunaikan ibadat umrah.

"Saya dah fikir panjang, tuan-tuan nak saya letak jawatan. Selama ini saya bertahan, bersabar.

"Jadi saya berhenti serta-merta. Saya sayang Umno, tapi jangan hina saya, jangan zalimi saya dalam Umno," katanya.

MT juga sebulat suara memutuskan timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti.

Shafie pula digantung keanggotaannya sehingga MT menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Berikutan keputusan itu, pada 27 Jun lalu, naib ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan.

Julai tahun lalu, Shafie dilucutkan sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Ditanya sama ada beliau akan menubuhkan parti baru bagi meneruskan perjuangan politiknya, Mohd Shafie berkata beliau belum lagi memikirkan tentang perkara itu.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat