Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pusatkan pusat hiburan untuk keselamatan, kata IGP

Pihak polis sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya pusat-pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi di lokasi tertentu bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan demikian pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, berkata pusat-pusat hiburan kini menjadi sasaran oleh militan Negara Islam (IS) yang mahu memerangi tempat-tempat yang didakwa tidak mematuhi syariah Islam.

“Itu sebab sebelum ini saya pernah mencadangkan kerajaan-kerajaan negeri supaya memusatkan pusat-pusat hiburan ini di satu lokasi, agar memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.

“Kerana keadaan sekarang ini, pusat-pusat hiburan kita merata-rata. Jadi pihak berkuasa pun mendapati sukar untuk kita menjaga keselamatan kawasan-kawasan ini yang bertabur-tabur.

“Jika dihimpunkan di satu kawasan, saya rasa lebih baik dan lebih mudah untuk kita membuat kawalan,” katanya kepada pemberita.

Beliau disoal wartawan sama ada pemilik pusat hiburan perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, berikutan serangan bom di kelab Movida di Puchong minggu lalu.

Serangan itu mengakibatkan lapan orang cedera, dan menandakan kejayaan pertama IS menyerang di bumi Malaysia.

Selain daripada meningkatkan kawalan keselamatan, Khalid berkata pemusatan pusat hiburan di satu lokasi juga akan memudahkan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan bahawa syarat yang ditetapkan dipatuhi.

Khalid juga menggesa pemilik pusat hiburan suapaya mematuhi syarat-syarat itu.

“Kalau (sepatutnya) tutup pukul 12, tutuplah pukul 12. Jangan arahan tutup pukul 12, buka sampai pukul 5 pagi.

“Ini memudahkan kumpulan-kumpulan ini menjadikan tempat-tempat ini sebagai sasaran, kerana mereka tahu kalau serang pada waktu itu, sekuriti lebih relaks.

“Jadi, itu antara langkah-langkah yang mereka patut ambil,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS