Paling Popular
Terkini

ULASAN l Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul suara-suara lantang mempertikaikan kredibiliti pusat zakat sebagai sebuah badan yang memegang amanah untuk mengutip dan mengagihkan wang zakat.

Di laman sosial, pelbagai kecaman dihamburkan kepada lembaga itu. Tidak kurang kata-kata kesat dan makian dilemparkan kepada dan amil yang ditugaskan menjalankan kewajipan mereka.

Kebanyakan kecaman didorong oleh perasaan emosi dan marah yang meluap-luap. Mereka mempersoalkan ke mana wang zakat disalurkan sedangkan masih terdapat ramai warga yang miskin.

Ada yang sekadar ikut-ikutan. Ada juga yang mendengar khabar angin atau cakap-cakap orang tanpa usul periksa atau menyemak sendiri daripada pusat zakat.

Bahkan, mereka yang tidak pernah membayar zakat, turut sama menghentam dan mempertikaikan institusi itu.

Oleh itu timbul persepsi negatif dan imej kurang menyenangkan terhadap pusat zakat.

Wujud satu sikap baru di kalangan segelintir umat Islam untuk 'memboikot' atau melakukan protes, sebaliknya memutuskan untuk mengeluarkan zakat terus kepada golongan asnaf kerana hilang keyakinan terhadap lembaga berkenaan.

Nanti dulu. Tulisan ini bukanlah semata-mata mahu membela Pusat Zakat. Penulis percaya, institusi zakat wajar menerima kritikan dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Tetapi itu bukan bermakna kita wajar menghentam secara membuta tuli dan semberono, seolah-olah tiada langsung sumbangan pusat zakat kepada golongan yang memerlukan.

Sikap negatif dengan menghentam pusat zakat - termasuk yang dipamerkan oleh segelintir agamawan - bagi penulis adalah kurang bertanggungjawab.

Apa yang dikritik?

Di kalangan mereka yang tidak berpuas hati, kritikan utama adalah berkisar mengenai proses permohonan yang dikatakan harus melalui pelbagai karenah birokrasi.

Kes-kes permohonan yang dikatakan memakan masa berbulan-bulan dijadikan sandaran dan modal kempen mereka.

Penulis tidak mahu menolak langsung hakikat bahawa memang ada permohonan zakat yang mengambil masa yang lama. Seperti diperkatakan tadi, Pusat Zakat harus menerima kritikan itu dengan hati terbuka dan menutup kelompongan sedia ada, terutamanya dari segi memudahkan proses dan pengagihan bantuan.

Dengan sekadar menjatuhkan hukum seperti haram sekiranya tidak membayar zakat kepada lembaga zakat, tidak akan menjelaskan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa agama juga harus lebih pro aktif dalam menyampaikan maklumat terutama mengenai ke mana agihan zakat disalurkan.

Seperti agensi kerajaan yang lain, sudah tentu permohonan zakat perlu melalui prosedur tertentu bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan melakukan penipuan.

Bagaimanapun, mekanisme ini haruslah ditambah baik dari semasa ke semasa.

Selain itu terdapat juga kritikan bahawa pegawai zakat tidak melakukan kerja, duduk goyang kaki dan kaya-raya daripada hasil kutipan zakat.

Bagi penulis, tuduhan itu terlalu melulu. Adalah tidak adil menghukum sedemikian sedangkan kakitangan zakat juga mencari pendapatan yang halal untuk menyara keluarga mereka.

Beberapa hari lalu, penulis terbaca mengenai luahan seorang pegawai dari Lembaga Zakat Selangor yang kesal terhadap kecaman masyarakat terhadap mereka.

Menulis di Facebook, beliau menjelaskan bahawa mereka berurusan dengan puluhan permohonan zakat setiap hari.

Mereka juga melakukan tugasan pejabat seperti mengisi data dalam komputer, keluar mencari asnaf dan menemui mereka bagi membuat siasatan dan memastikan kesahihan maklumat yang diberikan.

Oleh itu, ia bukanlah satu tugas mudah seperti digambarkan sesetengah orang, apatah lagi tugasan mencari asnaf meliputi puluhan kilometer persegi.

Sama ada permohonan diterima atau ditolak, mereka perlu membuat justifikasi dan menulis laporan.

Permohonan yang bertimbun ini tidak lagi mengambil kira pelbagai karenah pemohon yang dihadapi pegawai-pegawai ini, termasuk menerima aduan atau pertanyaan mengenai permohonan.

Menurut pegawai berkenaan, adakalanya mereka menerima panggilan telefon sehingga larut malam untuk bertanya mengenai status permohonan.

Kutipan sistematik

Pada asasnya, konsep zakat sama sahaja seperti cukai yang dikutip oleh kerajaan daripada rakyat termasuklah cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Yang membezakannya zakat diwajibkan ke atas muslim sebagai syarat rukun Islam ketiga dan wang yang dikutip itu diagihkan kepada 8 kategori asnaf yang layak menerimanya.

Adalah malang sekiranya makin ramai individu mengikut trend untuk membayar zakat terus kepada asnaf sedangkan sudah ada sebuah badan yang menguruskan zakat secara sistematik.

Ia ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Harus difikirkan bahawa bantuan kepada fakir dan golongan miskin tidak semestinya melalui zakat semata-mata.

Mereka boleh sahaja membantu golongan berkenaan dengan bersedekah dan pada masa sama menghulurkan zakat untuk diuruskan lembaga zakat.

Tetapi kenapa tidak mahu berbuat demikian? Tentulah kerana didorong kemarahan, persepsi negatif dan prejudis yang melampau terhadap pusat zakat.

Harus diketahui bahawa bantuan yang disalur lembaga zakat kepada asnaf bukan sekadar bantuan bulanan.

Pusat zakat juga membiayai bantuan pendidikan, bantuan perubatan, bantuan kepada mualaf sehinggalah kepada modal untuk asnaf memulakan perniagaan. Tentu sahaja jumlah ini mebabitkan peruntukan yang besar

Penulis memetik pandangan seorang blogger pengurusan kewangan di internet yang antara lain berpendapat sekiranya zakat tidak dikumpulkan secara kolektif, adalah sukar bagi asnaf menerima bantuan modal berniaga misalnya.

Penulis juga difahamkan bantuan dan permohonan zakat di kebanyakan negeri pada masa ini mengatasi jumlah kutipan yang diperoleh.

Oleh itu, kempen tidak membayar zakat kepada institusi zakat pastinya akan menjejaskan kutipan yang diterima badan itu.

Tentu sekali ini akan memberi kesan kepada puluhan ribu penerima bantuan sedia ada. Jadi di manakah relevannya bagi golongan yang mahu mengenepikan peranan pusat zakat?

Bantuan perubatan

Jika dahulu, penulis sendiri sering mempertikaikan ke manakah wang zakat disalurkan, sehinggalah bapa sendiri menghidap sakit buah pinggang dan kos rawatannya ditanggung sepenuhnya oleh pusat zakat.

Kos bagi membiayai rawatan hemodialisis menelan belanja yang tinggi. Lazimnya di antara RM200-RM250 bagi setiap sesi iaitu tiga kali seminggu.

Bermakna ia menelan belanja antara RM3000 hingga RM4000 sebulan. Bayangkan, itu hanya kos yang ditangung untuk pesakit buah pinggang sahaja.

Seorang doktor rehabilitasi dalam satu statusnya di Facebook misalnya mengakui zakat banyak membantu pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Kebiasaannya pihak hospital akan memohon bantuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PERKESO ataupun MAKNA.

Sekiranya tidak layak, mereka boleh memohon bantuan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) yang kemudian akan mencari penaja termasuk daripada Majlis Agama Islam (MAI).

MAI memperolehi dana daripada kutipan zakat dan merupakan penyumbang terbesar daripada kesemua agensi berkenaan.

Kebanyakan pesakit rehabilitasi adalah pesakit terlantar, lumpuh, kanak-kanak spastik dan pelbagai penyakit yang menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan serta peralatan khas.

Antara perkara yang ditaja oleh MAI termasuk peralatan pemulihan seperti kerusi roda, katil hospital, anggota palsu, implan dan sebagainya.

Alatan ini tidak murah, sebahagiannya bernilai belasan ribu ringgit. Doktor itu juga mengakui pernah menguruskan permohonan kaki palsu bernilai sekitar RM10,000 dan ia diluluskan setelah justifikasi dibuat.

Ubat penyelamat nyawa juga ditaja seperti ubat antivirus yang diberi kepada bayi pramatang dengan kos rawatan mencecah sehingga RM17,000. Bayangkan berapa banyak bantuan disalurkan oleh zakat bagi sektor perubatan sahaja.

Bagaimanapun, ada juga mempertikaikan kenapa sebahagian besar kutipan zakat disalur kepada perubatan?

Bagi penulis,soalan ini lebih wajar dituju kepada kerajaan. Sekiranya sistem percukaian diuruskan dengan baik dan tanpa ketirisan atau pembaziran, tentunya kerajaan mampu menawarkan sistem kesihatan yang lebih baik dan murah tanpa bergantung kepada dana yang diperolehi daripada zakat.

Peranan masyarakat

Sikap segelintir masyarakat yang hanya pandai menuding jari dan mencari kesalahan tidak akan menyelesaikan masalah. Tidak salah untuk mengkritik, tetapi biarlah kritik demi penambahbaikkan dan dilakukan dengan bijaksana.

Masyarakat sendiri harus memainkan peranan mereka dan tidak boleh terlalu bergantung kepada pegawai zakat kerana mereka juga memiliki limitasi dan tenaga kerja yang terhad.

Adalah lebih molek sekiranya orang ramai sendiri turut sama membantu pusat zakat dalam mencari golongan asnaf yang benar-benar layak dibantu daripada terus menghentam lembaga itu.

Dalam tempoh beberapa jam sebelum solat Aidilfitri, masih ada masa bagi umat Islam untuk menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah.

Namun janganlah menganggap kewajipan berzakat itu hanya khusus kepada zakat fitrah semata-mata. Banyak lagi kategori zakat yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang mampu seperti zakat pendapatan, zakat harta atau zakat perniagaan.

Jangan pula menganggap bahawa sumbangan RM7 yang dibayar sebagai zakat fitrah setahun itu terlalu besar nilainya dan mencukupi bagi menampung jutaan orang yang memerlukan.

Semoga kita mendapat keberkatan daripada nikmat berzakat.

Lihat Komen
ADS