Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengganas dalam serangan Dhaka ikut Zakir Naik
Diterbitkan:  Jul 5, 2016 5:29 PM
Dikemaskini: Jul 16, 2016 1:58 AM

Laporan berita mendakwa dua pengganas yang terbabit dalam pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh, adalah pengikut media sosial pendakwah Islam kontroversi Dr Zakir Naik dan dua perekrut yang dipercayai anggota kumpulan militan Negara Islam (IS).

Akhbar Bahasa Inggeris Bangladesh, The Daily melaporkan bahawa seorang daripada mereka Rohan Imtiaz menulis di Facebook tahun lalu memetik Zakir menggesa semua umat Islam untuk menjadi pengganas.

Penceramah bebas itu berkunjung ke Malaysia pada April lalu walaupun menerima banyak tentangan daripada pelbagai pihak.

Beliau juga dianugerahkan sebuah pulau oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menubuhkan cawangan tempatan atau pusat penyelidikan serantau Asia Tenggara untuk Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diterajuinya.

Walaupun mendapat bantahan daripada kumpulan Hindu dan MIC, Zakir dibenarkan untuk menyampaikan ceramahnya tetapi topik untuk membandingkan Islam dan Hindu telah diarahkan supaya diubah.

Ketika itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan warga India sebagai "lelaki yang sangat bijak."

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjemput beliau untuk sarapan pagi di kediamannya dan melahirkan harapan bahawa pendakwah itu akan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan.

Begitu juga, PAS memuat naik gambar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpelukan dengan Zakir dalam apa yang disifatkan sebagai "perjumpaan bersejarah".

Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua daripada mereka yang terlibat dalam serangan ke atas sebuah restoran di Dhaka belajar di universiti Monash di Sunway, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mereka adalah penyerang ataupun mangsa.

Seorang lagi pengganas dalam serangan itu, Nibras Islam, dilaporkan pernah menjadi pengikut perekrut IS yang disyaki iaitu, Anjem Choudary dan Shami Witness di Twitter pada 2014.

Seorang warga British, berketurunan Pakistan, Anjem yang berusia 49 tahun itu kini berdepan dengan perbicaraan di England atas dakwaan melanggar undang-undang anti-keganasan British.

Sementara itu, Shami Witness adalah nama di Twitter bagi Mehdi Biswas yang berusia 24 tahun dan berasal dari India. Dia juga menghadapi perbicaraan kerana menjalankan propaganda untuk IS.

Penganas itu lazimnya memenggal kepala tebusan mereka, termasuk rakyat Itali dan Jepun sehingga mati.

Menurut laporan, pengganas berkenaan dikatakan dari keluarga berada, manakala Rohan adalah anak kepada seorang ahli politik dari parti pemerintah Bangladesh Awami League.

Komando Bangladesh telah membunuh sekurang-kurangnya enam daripada pengganas berkenaan.

ADS