Polis telah gagal mendapatkan perintah tahanan lanjutan ke atas seorang penulis buku berusia 76 tahun yang ditangkap Sabtu lalu kerana menghantar mesej bergambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa bersifat jelik.
Menurut akhbar harian berbahasa Cina, Guangming Daily, permohonan bagi reman kedua dibuat di mahkamah majistret Johor Bahru, semalam tetapi ditolak oleh majistret Hafizah Johor Ariff Johor.
Tahanan reman pertama diperolehi Ahad lalu ke atas atas lelaki bernama 'Pa Ya' dalam kumpulan WhatApps "Bicara Politik Melayu" itu berakhir semalam.
Polis berkata mereka sedang menunggu arahan Peguam Negara mengenai tindakan seterusnya.
Warga emas itu juga dilaporkan menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Beliau disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Seksyen 233 memperkatakan tentang penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi untuk membuat komen lucah, sumbang, palsu, ancaman yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
