Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Zakir Naik: Saya tidak galakkan keganasan
Diterbitkan:  Jul 7, 2016 1:26 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Pendakwah Islam yang diaggap kontroversi Dr Zakir Naik menafikan bahawa ucapannya menggalakkan keganasan dan mengalu-alukan siasatan terhadapnya.

Ini susulan laporan bahawa dua daripada pengganas yang terbabit dalam pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh, adalah pengikut media sosial Zakir, yang berpangkalan di Mumbai, India.

"Ini sama sekali tidak logik untuk mengatakan bahawa saya menggalakkan keganasan," katanya, seperti yang dilaporkan oleh CNN-News18 semalam.

"Tidak satu pun agensi penyiasatan mendakwa bahawa Dr Zakir Naik menggalakkan keganasan. Kementerian Dalam Negara amat dialu-alukan untuk meneliti semua ucapan saya.

"Saya mempunyai pengikut yang ramai. Saya mungkin menjadi inspirasi kepada mereka tetapi saya tidak mengenali mereka secara peribadi.

"Saya bimbang media dan ahli politik kerana mereka mungkin memburukkan imej saya. Ada orang yang menggunakan gambar saya dan salah memetik kata-kata untuk memfitnah saya. Saya mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap saya," katanya.

Zakir juga menafikan bahawa beliau pernah menggesa semua umat Islam supaya menjadi pengganas, sambil menambah bahawa video di mana beliau didakwa berbuat demikian sebenarnya telah dipalsukan.

Begitu juga, beliau berkata video yang disebarkan di media sosial berhubung ucapan kontroversinya mengenai Osama bin Laden, juga telah dipalsukan.

Katanya, beliau tidak pernah mengenali Osama dan beliau tidak pernah melabelkan bekas pemimpin al-Qaeda itu sebagai seorang wali mahupun seorang pengganas.

"Saya sentiasa berdakwah bahawa umat Islam tidak seharusnya mengancam sesiapa sahaja ... Sesiapa yang membunuh orang, sama ada dia Islam atau bukan Islam, akan masuk neraka.

"Saya kata setiap Muslim perlu menjadi pengganas kepada semua unsur anti-sosial. Adalah malang bahawa ada orang mendakwa bahawa saya menggalakkan keganasan," katanya.

Walau bagaimanapun, Menteri Penerangan Bangladesh Hasanul Haq Inu berkata terdapat laporan bahawa dua daripada penyerang mendapat inspirasi daripada Zakir.

"Kami sedang berhubungan dengan ulama untuk meneliti ucapan Naik ini. Terdapat aduan terhadapnya di negara ini kerana ucapan kontroversi.

"Agensi-agensi menyiasat kami sedang mengkaji semua sudut tetapi saya tidak berada dalam kedudukan untuk mendedahkan segala-galanya pada masa ini," kata menteri itu.

Sebelum ini, Menteri Negara (MOS) untuk hal ehwal Dalam Negeri India, Kiren Rijiju berkata agensi penyiasatan negara itu sedang juga meneliti ucapan Zakir.

Sabtu lalu, sekumpulan lelaki bersenjata sambil melaungkan "Allahu Akbar" menyerang kafe mewah Holey Artisan Bakery di ibu negara Bangladesh dan menetak 20 orang hingga mati.

Polis kemudiannya menyerbu bangunan itu dan menyelamatkan 13 tebusan. Dilaporkan bahawa enam lelaki bersenjata terbunuh dalam operasi itu manakala seorang daripada mereka ditawan oleh polis.

Dua daripada pengganas itu, Rohan Imtiaz dan Nibras Islam dilaporkan mendapat ilham daripada Zakir.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua daripada penyerang itu pernah belajar di Universiti Monash di Sunway, tetapi tidak dapat mengesahkan jika mereka adalah penyerang ataupun mangsa.

Universiti Monash juga memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan jika bekas pelajarnya adalah mangsa atau pengganas.

Lihat Komen
ADS