Malaysiakini
BERITA

S'wak Report dedah laporan sulit 'Audit Negara' siasat 1MDB

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Jul 2016, 10:27 pagi

Laman web pendedah maklumat yang berpangkalan di London, Sarawak Report telah menerbitkan beberapa kandungan apa yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun dokumen berkenaan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Sarawak Report telah mendapat akses meluas kepada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, bersama-sama dengan dokumen utama yang disertakan hasil siasatan itu," katanya.

Laman itu menyenaraikan pelbagai kebimbangan yang dicatatakan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya, terutamanya berkaitan dengan beberapa pemindahan dana yang dipersoalkan.

Sarawak Report juga menyediakan butiran pemindahan dana berkenaan. Malaysiakini tidak mengesahkan sama ada laporan itu adalah sahih mahupun melaporkan kandungan tersebut kerana sekatan undang-undang.

Menurut portal itu, ia akan menerbitkan maklumat lanjut daripada laporan Ketua Audit Negara pada hari-hari akan datang.

Pada April lalu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak untuk membenarkan laporan Audit Negara mengenai 1MDB dibentangkan di Parlimen dengan alasan ia masih belum dinyah-rahsiakan.

"Saya tidak boleh membenarkan dokumen yang diklasifikasikan dibentangkan di Dewan Rakyat. Saya akan melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 jika membenarkannya," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Mac lalu.

Kerajaan setakat ini enggan memaklumkan bila laporan itu akan didedahkan atau dinyah-rahsia. Setakat ini, hanya ahli-ahli PAC yang mempunyai akses kepada laporan itu.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.