Enam suspek ditahan polis berikutan serangan parang bersenjatakan parang di sebuah pusat hiburan di Jalan Dutamas 1, Sentul, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 malam semalam yang menyebabkan dua orang mati manakala seorang wanita putus tangan selepas ditetak.
Sumber polis memberitahu Malaysiakini, tangkapan dijalankan sekitar jam dua pagi ini oleh pasukan Polis Daerah Sentul dan semua suspek adalah lelaki yang dalam lingkungan usia 21 hingga 29 tahun.
Polis juga, katanya, akan memohon perintah reman tujuh hari untuk siasatan lanjut ke atas mereka.
Pada kejadian itu, sekumpulan lelaki bertopeng dilaporkan menaiki dua buah kenderaan dan berhenti di hadapan pusat hiburan tersebut dengan tiba-tiba.
“Mereka (kemudiannya) menetak mangsa dengan parang beberapa kali sebelum meluru masuk ke dalam pusat hiburan pula dan menetak dua lagi mangsa termasuk wanita berkenaan yang bekerja sebagai juruwang di pusat hiburan berkenaan.
"Berdasarkan keterangan saksi kejadian dan orang awam di lokasi kejadian, semua suspek memakai topeng dan bersenjatakan parang,” kata sumber itu.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (cctv) juga memaparkan selepas menetak semua mangsa, suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang sama.
Dua mangsa lelaki itu dilaporkan mati di tempat kejadian manakala wanita yang putus tangannya dikatakan masih kritikal dan dikejarkan ke Hopital Kuala Lumpur.
Mangsa yangdibunuh itu dikenal-pasti sebagai Mogan Sandran, 21, dan Mythurai Raja, 23.
Polis masih mencari motif pembunuhan itu, tetapi siasatan awal tidak menolak kemungkinan salah faham antara dua kumpulan yang membawa kepada serangan maut itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan dua pekerja pub mati ditetak dan seorang lagi cedera parah selepas diserang oleh enam lelaki bersenjatakan parang di luar sebuah pub di Jalan Duta, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Keenam-enam lelaki itu yang memakai penutup muka menyerang deejay S Mogan, 21 dan juruwang wanita R Mythurai,, 23, dan seorang deejay yang hanya dikenali sebagai Allen yang duduk di kaki lima pub itu di Publika Solaris Dutamas 1.
Ketua Polis Sentul ACP R Munusamy berkata susulan insiden itu, Mogan dan Mythurai, yang cedera di kepala dan badan akibat ditetak, mati ketika dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Allen, yang dirawat di hospital kerana kecederaan yang sama, dipercayai berada dalam keadaan kritikal.
Munusamy berkata, rakaman dari kamera CCTV menunjukkan enam lelaki bersenjatakan parang tiba di Destiny Pub dengan menaiki dua buah kereta kira-kira 11 malam.
Beliau berkata seorang daripada lelaki tersebut mula menyerang Mogan yang duduk di kaki lima pub. Dia berkali-kali menetak mangsa sementara tiga orang lagi rakannya menyerang Mythurai dan Allen.
Bagaimanapun, tiada CCTV dipasang dalam pub. Setakat ini, tiada saksi tampil untuk membantu siasatan.
"Semua suspek memakai penutup muka dan bersenjatakan parang. Mereka kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki dua buah kereta. Kejadian itu berlaku sangat pantas," katanya, hari ini.
Munusamy berkata kira-kira tiga jam selepas kejadian itu, polis menahan enam lelaki berumur 20 hingga 33 tahun, untuk membantu siasatan.
Kesemua suspek telah direman selama seminggu.
Munusamy berkata siasatan awal mendapati kejadian itu bermotifkan dendam dan dipercayai ada kaitan dengan sambutan hari jadi yang diadakan di pub itu tidak berapa lama dahulu.
Pada majlis itu, tiga daripada suspek dikatakan bertengkar dengan beberapa orang jemputan sebelum pergaduhan tercetus.
Pihak pengurusan pub membuat laporan polis susulan kejadian ini dan seorang daripada suspek kemudian didakwa sementara dua orang lagi dibebaskan selepas disoal.
Malam tadi, ketiga-tiga mereka ialah antara keenam-enam penyerang yang kembali ke pub tersebut kerana dipercayai untuk membalas dendam.
