Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanjeevan direman 21 hari di bawah Poca, kata peguam
Diterbitkan:  Jul 11, 2016 2:30 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Pengerusi Badan Pemantau Jenayah (MyWatch) R Sri Sanjeevanditahan reman selama 21 hari, kata peguamnya Preakas Sampunathan.

Beliau berkata Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah reman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) semasa pendengaran pada 11 pagi hari ini.

"Kami membangkitkan bantahan bahawa beliau (Sanjeevan) tidak termasuk di bawah kategori yang boleh didaftarkan dalam jadual pertama Poca, dan beliau telahpun ditahan (19 hari) bagi kesalahan lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Meskipun dibantah, beliau berkata majistret memberikan reman selama 21 yang dibenarkan di bawah Seksyen 4 (1), yang boleh dilanjutkan selama 38 hari.

Beliau mendakwa majistret memutuskan bahawa polis bertindak dalam kuasa siasatan mereka. Beliau berkata satu siasatan akan diadakan di bawah Poca semasa tempoh tahanan reman, yang akan menentukan sama ada Sri Sanjeevan termasuk mana-mana kategori di bawah Poca.

Preakas berkata beliau masih memikirkan tindakan selanjutnya berikutan reman itu.

Di bawah Poca, Lembaga Pencegahan Jenayah diberikan kuasa menentukan sama ada seseorang termasuk dalam sepuluh kategori di bawah akta itu.

Mereka termasuk anggota kumpulan jenayah dan persatuan haram, dadah dan penyeludup manusia, pengendali tempat perjudian dan sesiapa di atas 21 tahun yang dituduh melakukan kesalahan atau keganasan sekurang-kurangnya tiga kali.

Lembaga itu boleh mengenakan pelbagai sekatan terhadap kebebasan seseorang sehingga lima tahun jika kesalahan mereka termasuk dalam salah satu kategori di bawah Poca.

Ditanya mengapa polis menggunakan Poca terhadap Sanjeevan, Preakas berkata soalan itu perlu ditanya kepada polis.

"Mereka hanya mengeluarkan (satu kenyataan bertulis) kepada majistret dan mendakwa terdapat sebab-sebab mencukupi untuk menahan, tetapi kenyataan itu tidak diberikan kepada pembelaan," katanya.

Sanjeevan ditangkap pada 22 Jun selepas seorang pengendali tempat perjudian mendakwa diperas ugut RM25,000. Pemandunya juga turut ditahan.

Sejak itu , Sanjeevan berulang kali dibebaskan dan ditahan semula untuk siasatan kerana melakukan pemerasan dan ugutan jenayah. Penangkapannya di bawah Poca semalam adalah yang kesembilan sejak 22 Jun.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS