Malaysiakini BERITA

Harakahdaily kaji cadangan Najib selesai luar mahkamah

Alyaa Azhar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Harakahdaily akan mengkaji terma-terma penyelesaian dalam cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung saman beliau terhadap portal berita milik PAS itu.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, anak guamnya telah mengemukakan cadangan tersebut yang mengandungi terma-terma penyelesaian pada 4 Julai.

Hafarizam, bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran terma penyelesaian tersebut kepada pihak media.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang menjalankan pengurusan kes hari ini di dalam kamar telah menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 26 Julai ini.

Sementara itu, peguam yang mewakili Harakahdaily, Wan Rohimi Wan Daud berkata, beliau memerlukan lebih banyak masa kerana cadangan Najib itu mesti dibincangkan dengan pelanggannya.

"Cadangan itu dihantar pada 4 Julai, pejabat kami ditutup (cuti) pada masa itu.

"Kami hanya dapat melihat cadangan tersebut hari ini, itulah sebabnya belum ada masa untuk perbincangan dengan pelanggan. Saya sendiri melihat cadangan itu tadi, " katanya kepada Malaysiakini.

Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya selaku defendan dalam saman fitnah yang difailkan pada 18 Mac tahun lepas.

[Baca berita asal]