Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tol LPT2: Kenapa pantai timur selalu dianaktirikan?'
Diterbitkan:  Jul 12, 2016 3:46 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Pelaksanaan kutipan tol di Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2) berkuat kuasa 15 Julai ini bakal menambahkan beban kewangan kepada rakyat Terengganu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata kutipan tersebut tidak wajar memandangkan kerajaan Terengganu turut menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya berkenaan.

"Dengan kadar 12 sen sekilometer bagi setiap kenderaan yang melalui LPT2 dari Gemuruh ke Cheneh akan meningkatkan kos perjalanan ke Kuala Lumpur sekitar 70 peratus.

"Rantaian peningkatan kos pengangkutan akan meninggalkan kesan beban berganda kepada harga barangan dan perkhidmatan," katanya pada kenyataan media hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan Terengganu perlu menyelesaikan isu tuntutan semula kos pembinaan LPT2 yang menggunakan wang kerajaan negeri sebanyak RM1.8 bilion.

"Pengembalian semula wang RM1.8 bilion itu cukup besar jumlahnya untuk memberi kemudahan kepada rakyat terutama sektor pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

"Kegagalan kerajaan negeri mendapatkan kembali wang tersebut merupakan satu kerugian dan pengkhianatan kepada amanah yang telah diberikan oleh rakyat," katanya.

Selain itu, katanya, keadaan jalan yang menjadi sungutan ramai dan kekurangan kemudahan di LPT2 perlu diselesaikan sebelum kerajaan memikirkan 'keuntungan dan laba' daripada saku rakyat.

"Kenapa lebuh raya Sarawak dikecualikan tol? Tetapi LPT2 nak dikenakan tol?

"Kenapa Pantai timur selalu dianaktirikan?" soalnya.

Semalam, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh berkata keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2 dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat.

Katanya, kutipan itu bagi membiayai kos penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan.

Lihat Komen
ADS