Malaysiakini
BERITA

Ismail Sabri ingatkan Dr M pada nasib Semangat 46

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jul 2016, 10:02 pagi

Pemimpin Umno tidak melihat kemungkinan penubuhan parti serpihan Umno pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ancaman.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah mengingatkan nasib parti serpihan Umno, Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.

“Sebenarnya sudah ada banyak parti ditubuhkan sebelum ini.

“Ku Li (Razaleigh) sebelum ini pun menganggap parti Semangat 46 kuat, tapi tak mampu kalahkan Umno,” kata Ismail dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Anggota Semangat 46, termasuk Razaleigh bagaimanapun akhirnya kembali ke pangkuan Umno.

Bagaimanapun, Umno ketika krisis itu dipimpin oleh Mahathir sendiri.

Ismail juga berkata, nasib sama menimpa PKR yang diasaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti baru Parti Amanah Negara (AMANAH) pimpinan Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat kuat masa beliau jadi timbalan perdana menteri tubuhkan PKR pun masih lagi tak mampu gugat Umno.

“Jadi dalam negara kita ini kita bebas, masing-masing nak tubuh parti tubuhlah.

“Mat Sabu pun rasa dia layak tubuh parti dia, jadi tak ada masalah,” kata Ismail.

Hak masing-masing

Sementara itu, Ismail berkata, dalam sebuah negara demokrasi, semua orang berhak menubuhkan parti masing-masing.

“Kalau Tun M nak tubuh parti dia kita tak ada halangan pun. Tubuhlah, tak ada masalah,” katanya lagi.

Spekulasi bertiup kencang bahawa doktor perubatan 91 tahun itu bakal menerajui parti baru, yang terdiri daripada bekas anggota Umno.

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kemungkinan itu sedang dipertimbangkan dan penerimaan pembangkang menggalakkan.

Cadangan penubuhan sebuah parti baru timbul beberapa minggu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dipecat daripada Umno kerana bekerjasama dengan pembangkang.

Malaysiakini difahamkan bahawa pembangkang berbelah-bahagi sama ada Dr Mahathir harus mengetuai parti berkenaan.

Nafi mungkiri penoreh

Sementara itu, Ismail juga menolak dakwaan PAS bahawa kerajaan gagal menunaikan janji untuk memberi bantuan khas RM500 seorang kepada penoreh Risda susulan kejatuhan harga getah.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Muhammad Sanusi Md Nor dalam sebuah harian Ahad lalu.

“Tuduhan Muhammad sanusi ini tak berasas sebab kita dah buat bayaran insentif RM500 pada pekebun kecil dan penoreh getah,” kata anggota parlimen Bera itu.

Sinar Harian melaporkan Sanusi sebagai berkata pengumuman pemberian bantuan khas itu bersifat “rasuah politik” menjelang pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.