Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari tawaran PAS, Azmin nampak 'harapan'
Diterbitkan:  Jul 13, 2016 6:16 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menyambut baik tawaran 'gencatan senjata' rakan sejawatnya dalam PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Azmin yang juga menteri besar Selangor memuji Tuan Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang matang serta memiliki visi jauh, apabila meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepartian.

“Pendirian baru yang dikemukakan oleh PAS memberikan harapan kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dalam negara yang tidak mungkin dicapai tanpa perpaduan yang utuh di kalangan semua parti pembangkang,” katanya.

Tuan Ibrahim membuat seruan itu bagi memberi fokus kepada “musuh sebenar”, iaitu Umno dan BN.

Katanya, PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan mempunyai banyak persamaan dan hanya beberapa perkara sahaja yang berbeza.

Dalam kenyataannya petang ini, Azmin berkata sejarah membuktikan perpaduan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen dua kali berturut-turut.

Pembangkang juga, katanya, memperoleh majoriti undi popular dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

Sebaliknya, perpecahan hanya menguntungkan BN, seperti dalam pilihan raya Sarawak, Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, kata Azmin.

PAS Selangor mahu 'formula'

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad juga senada dengan Tuan Ibrahim demi menumbangkan BN dan mengelak pertelagahan sesama sendiri.

Katanya, jika suasana itu berlarutan kemungkinan BN akan terus memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Satu formula yang akan memastikan prinsip-prinsip semua pihak dihormati mesti dicari,” kata pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Rafizi harap dihormati ke akar umbi

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menganggap cadangan Tuan Ibrahim itu sebagai “hadiah terbaik” untuk rakyat.

Bagaimanapun, kata Rafizi, ia perlu dihormati dan dihayati oleh pendukung pembangkang hingga ke peringkat akar umbi.

“Seterusnya ada baiknya sekiranya satu perjumpaan tidak rasmi boleh diusahakan untuk membincangkan langkah lanjut untuk mencari titik mula ini ke arah kebersamaan dalam melawan BN,” katanya.

Rafizi yang juga setiausaha agung PKR berkata sedang menunggu arahan lanjut Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menzahirkan usaha mencari titik mula untuk gesaan itu.

Lihat Komen
ADS