Kementerian Kesihatan kini dalam peringkat terakhir untuk menyelaraskan garis panduan dan audit bagi menjamin keselamatan wanita yang memilih untuk bersalin dalam air sebagai kaedah kelahiran.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setelah ia dilaksanakan, hospital yang ingin menawarkan perkhidmatan dan kemudahan bersalin dalam air boleh memohon kepada pihak kementerian.
"Sekiranya mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dengan memuaskan, mereka mungkin dibenarkan menyediakan perkhidmatan itu. Keselamatan pesakit adalah amat penting buat kementerian dalam mengawal selia apa-apa kaedah kelahiran," katanya.
Dr Noor Hisham berkata kementerian sedar bahawa kelahiran dalam air telah lama diamalkan di beberapa hospital swasta di Malaysia sejak beberapa tahun lalu, bagaimanapun, terdapat kebimbangan apabila semakin ramai wanita memilih kaedah itu untuk bersalin.
Beliau berkata walaupun jumlahnya masih kecil, ia adalah amat penting bahawa kaedah ini dipastikan selamat buat kedua-dua ibu dan bayi.
Dr Noor Hisham berkata kementerian telah mengadakan mesyuarat pada 2013 bersama sekumpulan pakar dalam bidang itu untuk mengkaji semula amalan bersalin dalam air di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata pakar-pakar membuat kesimpulan bahawa kaedah bersalin dalam air tidak mempunyai manfaat yang ketara berbanding kaedah kelahiran konvensional.
"Terdapat kebimbangan terhadap risiko komplikasi kepada kedua-dua ibu dan bayi melalui kelahiran dalam air.
"Tambahan pula, terdapat jurang ketara dalam persekitaran tempatan kerana kelahiran dalam air bukanlah sebahagian daripada kurikulum latihan tempatan diploma lanjutan dalam perbidanan, juga dalam latihan ahli obstetrik dan ginekologi di Malaysia," katanya.
Oleh itu, katanya, mana-mana hospital yang ingin menawarkan kemudahan dan perkhidmatan bersalin dalam air perlu memenuhi beberapa kriteria seperti ibu mengandung yang tidak mempunyai sebarang komplikasi dan kemudahan yang disediakan mampu merawat apa-apa kecemasan yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi semasa dan selepas bersalin.
Selain itu, beliau berkata hospital yang terbabit juga perlu mempunyai peralatan sesuai untuk memantau perkembangan bayi manakala semua kakitangan penjagaan kesihatan termasuk doktor, bidan dan jururawat terlibat dalam proses kelahiran dalam air perlu mempunyai latihan mencukupi dalam kaedah itu.
"Langkah berjaga-jaga diperlukan untuk mengurangkan risiko membabitkan kelahiran dalam air, misalnya langkah-langkah kawalan jangkitan.
"Ini merupakan antara kriteria yang dicadang oleh jawatankuasa pakar yang akan dimasukkan dalam garis panduan untuk kelahiran dalam air di hospital di Malaysia," katanya.
- Bernama
