Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin setuju pembangkang bersatu hadapi BN
Diterbitkan:  Jul 16, 2016 1:53 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau setuju sekiranya pembangkang bersatu dalam menghadapi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin berkata beliau turut sependapat dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali agar pembangkang kembali berunding bagi mewujudkan kesepakatan.

“Kesepakatan ini adalah amat penting untuk meraih keyakinan rakyat bahawa parti-parti politik selain BN mampu untuk menerajui Malaysia dengan lebih baik dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan perkembangan positif dan bersedia untuk berbincang dengan semua pihak bagi membawa perubahan politik dan kerajaan pada PRU akan datang.

“Andaian bahawa BN akan terus berkuasa dan pemimpin rasuah akan terus bermaharajalela lantaran perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak semestinya betul," katanya.

Menurutnya, penubuhan sebuah parti baru yang dicadangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya berkesan sekiranya ia diputuskan secara konsensus.

“Pada masa yang sama, saya juga akur bahawa penubuhan sebuah wadah politik baru hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain.

“Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya," katanya.

Sebelum ini, Anwar mengalu-alukan pembentukan parti baru untuk menentang BN dan menyifatkannya sebagai langkah positif.

Beliau juga berpendapat bahawa adalah penting bagi parti-parti pembangkang bersatu dan percaya Muhyiddin akan menerajui parti baru tersebut.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa parti pembangkang melakukan genjatan senjata dan mengembeleng tenaga bagi menentang BN dalam PRU akan datang.

Gesaan itu disambut baik pemimpin pembangkang termasuk Azmin Ali.

 

Lihat Komen
ADS