Aktivis Ali Abdul Jalil yang lari meninggalkan negara kerana berdepan dengan dakwaan hasutan mendakwa beliau telah diberikan status sebagai pemastautin tetap (PR) di Sweden.
"Alhamdulilah, aku dah dapat PR Sweden... permohonan asylum diterima. Terima kasih Sweden sudi beri PR, I love Sweden so much.
“Kalau aku jahat, Sweden takkan beri aku PR," kata Ali melalui Facebook hari ini.
Aktivis itu ditangkap empat kali pada tahun 2014 dan dikenakan tiga tuduhan menghasut. Dia ditahan selama 22 hari di penjara kerana mengkritik monarki di Facebook.
Pelajar itu akhirnya melarikan diri dari negara selepas mendakwa menerima banyak ancaman bunuh.
Berikutan itu, Jabatan Imigresen membatalkan pasportnya.
Ali, yang meninggalkan negara ini melalui Thailand, menetap di Sweden setelah mengetahui bahawa ia adalah antara negara paling mesra di dunia bagi pencari suaka.
