Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah mahu penjelasan peranan AG dalam kes nama Allah

Mahkamah Rayuan mahu penjelasan lanjut sama ada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dibenarkan campur tangan dalam kes Sidang Injil Borneo (SIB) dan sama ada peranan peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam akan terjejas.

Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer, yang mengetuai panel tiga hakim mahu perkara ini dikaji oleh peguam yang mewakili SIB atau gereja Borneo Evengelical dan MAIWP bagi menyediakan hujahan bertulis berhubung perkara itu.

"Sila berikan penghujahan kamu pada 12 Ogos dan jika kita mempunyai kemusykilan, tarikh akan ditetapkan dan jika tidak, kita akan menulis keputusan," katanya.

Hakim lain ialah Hakim Datuk Zamani A Rahim dan Zaharah Yusof.

Rev Jerry Dusing selaku plaintif, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkan MAIWP campurtangan dalam permohonan semakan kehakiman.

Beliau menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden berikutan rampasan buku-buku agama bercetak yang mengandungi perkataan Allah pada tahun 2007.

Walaupun barang-barang itu dikembalikan beberapa tahun kemudian, Dusing meneruskan dengan permohonan semakan kehakiman untuk mencegah berulangnya kejadian tersebut.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa sebagai negara yang mengamalkan kebebasan beragama, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak harus dibenarkan untuk membawa masuk barang ibadat mereka, termasuk kitab suci dengan perkataan Allah di dalamnya untuk digunakan.

Peguam Lim Heng Seng yang mewakili SIB, berkata mereka tidak mahu isu ini menjadi isu agama jika MAIWP diberi keberanan kerana mereka hanya mahu perkara itu melibatkan antara kementerian dan kerajaan persekutuan dan bukan negeri.

Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIWP, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya bukan kerajaan persekutuan atau negeri tetapi adalah sebuah badan yang diperbadankan.

Hakim Hamid Sultan berkata peranan peguam negara dalam perkara ini perlu dijelaskan.

Dilaporkan pada 23 Februari bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan MAIWP untuk campur tangan dalam kes itu yang bermakna ia bukan menjadi pemerhati semata-mata.

Ini adalah cabaran ketiga berhubung penggunaan kalimah Allah bagi masyarakat Kristian.

SIB adalah pihak pertama yang membuat permohonan untuk memfailkan semakan kehakiman diikuti oleh ketua biskop Roman Katolik dan kes Jill Ireland.

Bagaimanapun, kes ketua biskop Roman Katolik adalah yang pertama didengar ke mahkamah persekutuan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS