Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Parti baru Dr M tak perkukuh Melayu
Diterbitkan:  Jul 19, 2016 3:04 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Abdul Muati Ahmad berpendapat, penubuhan parti-parti baharu dari serpihan parti berteraskan Melayu, Umno dan PAS selalunya tidak boleh bertahan lama atau sekadar hanya membabitkan satu atau dua pilihan raya umum sahaja.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada Parti Negara dan Semangat 46 dan mengaitkannya dengan pengumuman penubuhan parti baru oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau kita tengok pada sejarah yang lepas-lepas, parti-parti serpihan daripada parti arus perdana parti berasaskan orang Melayu cuma dua sahaja, Umno dan PAS. Dalam sejarah Umno pun pernah pecah parti serpihan umpamanya dulu Datuk Onn menubuhkan Parti Negara kemudiannya Semangat 46, diikuti PKR.

“PAS pun ada Berjasa, HAMIM dan sebagainya, tapi paling lama pun parti-parti serpihan ini boleh bertahan cuma satu atau dua pilihan raya dan selepas itu akan hilang dan berkubur,” ujarnya, memetik laporan Umno Online.

Jelas beliau, sebarang penubuhan parti baharu akan dilihat lebih meriah tetapi apalah erti kemeriahan itu sekiranya tidak boleh memberi kekuatan padu kepada undi orang Melayu.

“Jadi saya tak boleh nak nilai berapa lama parti baharu yang Mahathir buat ini boleh bertahan sebaliknya sebarang penubuhan parti baharu yang merupakan pecahan daripada parti arus perdana tadi tentulah akan memecahkan undi orang Melayu.” katanya lagi.

“Kadang-kadang ada pengundi yang sebelum ini mengundi Umno/BN mungkin merajuk atau kecewa atas sebab-sebab tertentu dan dia akan mengundi parti yang baharu namun keterujaan kepada benda baharu ini tidak lama, tetapi apa yang dikhuatiri jika sekali kuasa terlepas ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab maka saya kira kesannya amat berat,” katanya.

Beliau yang merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM)
menambah, penubuhan parti baharu mungkin memberi kesan terhadap kerajaan tetapi ia tidak berpanjangan.

Lihat Komen
ADS