Malaysiakini BERITA

Mufti Perak: Haram umat Islam makan sosej jika ragu-ragu

Muda Mohd Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Adalah haram bagi umat Islam untuk memakan sosej yang tidak diketahui sama ada ianya dibuat mengikut syarak atau tidak, kata Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, jika meragukan atau was-was, maka ia disebut `subhah' dan orang Islam dilarang memakannya.

"Sarung atau kulit sosej yang diimport yang tidak diketahui sama ada disembelih atau tidak, siapa yang menyembelih dan tempat sembelihannya adalah haram untuk untuk umat Islam memakannya," katanya.

"Dalam isu ini, saya setuju dengan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman yang mengatakan penggunaan `natural casing' sama ada ia dibuat menggunakan babi atau tidak, yang tidak diiktiraf, adalah tidak halal," katanya.

Harussani berkata, hadis telah menjelaskan perkara halal dan perkara haram dan "kalau ada yang meragukan, ia adalah haram".

Harussani berkata, dalam Islam, ternakan mesti disembelih menurut syarak iaitu oleh orang Islam sendiri, niat dan menggunakan pisau yang tajam serta d itempat yang tidak bercampur dengan benda yang tidak halal.

Bagaimanapun, menurutnya, kulit binatang yang tidak boleh dimakan dalam Islam seperti buaya dan ular, boleh dibuat kasut atau tali pinggang dengan syarat hendaklah disamak terlebih dahulu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kesihatan Awam Veterinar Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPD) Dr. Kamaruzaman Mohd Sharif berkata, pihaknya tidak boleh menentukan sama ada kulit sosej halal atau tidak, kerana ia adalah urusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tiada kilang diiktiaraf

Menurutnya, apa yang dibuat oleh Bahagian Kesihatan Awam Veterinar ialah untuk memeriksa dan menentukan loji penyembelihan bagi memenuhi standard kebersihan untuk pengguna di Malaysia.

"Kami tidak menentukan loji penyembelihan itu halal atau tidak kerana ia adalah tanggungjawab Jakim," katanya sambil menambah JPH, tidak pernah mengiktiraf sebarang loji yang mengeluarkan sarung sosej di luar negara.

Dalam sidang media Selasa lalu, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman berkata, Syarikat Muller Sausage Haus Sdn Bhd dan Pacific Refrigerating Sdn Bhd kedua-duanya beroperasi di Selayang mengeluar sosej yang tidak halal.

Katanya, isu utama yang dipertikaikan ialah mengenai penggunaan 'natural casing' dalam industri pembuatan sosej, tidak mengira sama ada ia dibuat dari babi ataupun binatang lain seperti kambing biri-biri.

"Berdasarkan kenyataan Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), ia membuktikan bahawa penggunaan 'natural casing' ini adalah tidak diiktiraf dan boleh diragui status halalnya bagi digunakan oleh orang Islam," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan jabatan tersebut yang bertarikh 11 Mei, 2004 yang menyatakan JPH tidak pernah mengiktiraf sarung atau kulit sosej yang diimport sebagai halal untuk dimakan oleh umat Islam.

Kenyataan itu menyebaut bahawa tidak ada loji di luar negara yang membekalkan 'natural casing' bagi sosej, disahkan halal oleh Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, ujian makmal oleh Jabatan Kimia terhadap produk kedua-dua kilang tersebut didapati tidak mengandungi babi.