Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng sebenarnya takut dibicara, kata MT Umno
Diterbitkan:  Jul 20, 2016 4:45 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

DAP mahu mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang kerana takut Ketua Menteri Lim Guan Eng dibicarakan di mahkamah, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang juga ahli majlis tertinggi (MT) Umno, DAP hanya mahu membuktikan Lim tidak bersalah dan tindakan mereka hanya bermotifkan kepentingan politik semata-mata.

“Lim sebenarnya takut dibicarakan oleh mahkamah dan mahu mengheret rakyat membantu membersihkan namanya dan menyelamatkan kerajaan DAP Pulau Pinang yang semakin goyang.

“Dengan kata lain, pilihan raya mengejut jika diadakan di Pulau Pinang hanyalah satu pembaziran dan penyalahgunaan wang rakyat seperti yang berlaku pada Langkah Kajang,” katanya, memetik laporan portal BNBBC.

Bagaimanapun, Lim bersama Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan untuk menangguhkan rancangan mengadakan pilihan raya mengejut di pulau mutiara itu.

Dalam sidang media bersama antara kedua-dua pemimpin selain turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Lim berkata, bagaimanapun, perbincangan mengenainya tetap diteruskan bersama komponen Pakatan Harapan yang lain.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, cadangan DAP itu juga menunjukkan setiausaha agung DAP itu angkuh dan ingin menunjukkan kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbirannya bersih.

“Justeru, saya cadangkan supaya rakyat Pulau Pinang memulaukan pilihan raya berkenaan,” katanya.

Cadangan mengadakan pilihan raya mengejut itu mendapat maklum balas negatif dari pelbagai pihak antaranya Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang menggesa DAP agar mempertimbangkan semula rancangan itu.

Kata BERSIH, pihaknya 'amat bimbang' dengan khabar angin itu dan menuntut parti itu menjelaskan tujuan dan keperluan untuk pilihan raya negeri lebih awal.

Selain itu, harapan untuk melihat berlakunya 'gencatan senjata' di kalangan pembangkang mungkin berkecai jika pilihan raya mengejut itu diadakan sekarang, kata penganalisis.

"Jika mereka mengadakan pilihanraya mengejut tanpa memulihkan hubungan dengan PAS, ia akan mengeruhkan hubungan dengan pemimpin PAS yang kian cenderung untuk kembali kepada pakatan pembangkang," kata Profesor Faisal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia, kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS