Malaysiakini
BERITA

Rombakan exco perkara biasa, kata MB T'ganu

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Jul 2016, 7:36 pagi

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkata rombakan portfolio anggota exco yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas, yang berkuatkuasa 1 Ogos, adalah perkara biasa, malah tiada sebarang isu yang harus ditimbulkan.

"Pertukaran ini perkara biasa... ini yang dinamakan transfromasi kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Malam Penghargaan Media Bersama Eastern Pacific Corporation (EPIC) di Kuala Terengganu malam tadi.

Majlis yang bertujuan menghargai sumbangan media itu dihadiri kira-kira 100 pengamal media di negeri itu.

Mengenai pelantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ahmad Razif berkata perkara itu bukan perkara baru.

"Malah setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang jawatan pengerusi secara automatik dilantik memegang jawatan timbalan pengerusi.

"Sebelum ini Ahmad Said memang ada memegang jawatan timbalan pengerusi, cuma kita tak umum jawatan itu... tapi sekarang kita umumkan jawatan timbalan pengerusi sebab nak mudahkan urusan pentadbiran.

"Ini sudah menjadi perkara biasa dan bukan perkara baharu... lagipun kita memang tak cukup orang sampai ada ada wakil rakyat BN yang menjawat sehingga dua jawatan timbalan. Jadi, jawatan timbalan kita kekalkan, tak ada perubahan,"
katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.