BERITA Malaysiakini

'Mulanya saya sangka Mahathir terlalu keras terhadap Najib...'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada mulanya menyangka suaminya terlalu keras terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas beliau mengangkat sumpah sebagai pemimpin nombor satu negara pada tahun 2009.

Dalam autobiografinya 'My Name is Hasmah', Siti Hasmah menceritakan bagaimana tanda-tanda perselisihan di antara Mahathir dan Najib muncul seawal selepas beliau menjadi perdana menteri.

Satu pertemuan makan malam kemudian diatur di Seri Perdana untuk menyelesaikan perkara itu.

Tetapi apabila Najib muncul semula tidak lama lagi selepas pertemuan itu, Hasmah tahu ia bukanlah satu petanda yang baik.

Najib, katanya, telah mengesahkan ini, memaklumkan kepadanya bahawa Mahathir mahu beredar segera.

Ditanya apa yang telah berlaku antara kedua mereka selepas pulang ke rumah, Mahathir berkata beliau telah memberitahu Najib bahawa dia teruk dalam menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri.

"Saya agak terkejut. Najib baru sahaja mengambil alih jawatan dan saya juga prihatin dengan bagaimana dia dilihat menguruskan negara ini," katanya sambil menambah beliau juga merasakan Mahathir terlalu keras terhadap Najib.

"Dia masih agak baru dalam menjalankan tugas tersebut," kata Hasmah, sambil menegaskan bagaimana Mahathir sendiri berdepan dengan permulaan yang sukar sebagai timbalan perdana menteri.

Kesedihan dan kebingungan

Tetapi selepas malam itu, perkembangan lain telah berlaku dan Najib, katanya, tidak lagi baru untuk tugas itu.

Katanya, Mahathir kritikal mengenai pengendalian Najib terhadap isu-isu negara dan kesan pada kedaulatan dan kemerdekaan kita, dan untuk tidak berkata apa-apa tentang kontroversi yang lebih terkini menyelubungi Najib sendiri.

Secara peribadi, katanya, beliau merasakan kesedihan dan kebingungan tentang apa yang berlaku kepada Najib yang pernah dikenalinya.

Namun begitu, beliau tetap berharap satu hari nanti negara akan kembali di landasan yang betul, tulis Siti Hasmah dalam bukunya itu.

Lebih setahun berlalu sejak Mahathir secara terbuka mengkritik Najib, terutamanya yang berkaitan dengan cara beliau mengendalikan firma pelaburan negara, 1MDB.

Sejak itu, Mahathir telah keluar Umno dan malah menerajui gerakan Selamatkan Malaysia yang menggesa peletakan jawatan Najib. Minggu lepas, Mahathir mengumumkan sebuah parti politik baru akan ditubuhkan.

Autobiografi Siti Hasmah, yang dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-90 beliau, adalah koleksi cerita perjalanan hidupnya, kerjaya dalam bidang perubatan dan pengalaman hidup bersama suaminya.

Buku itu ditulis dengan bantuan pasukan editor dari Salt Media Group dan diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf.

Buku 248 halaman itu akan dijual pada harga RM80 di kedai-kedai buku. Versi Bahasa Malaysia, 'Nama Saya Hasmah', juga akan diterbitkan tidak lama lagi.


[Baca berita penuh]