Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak semua perkara harus ditangani dengan fatwa termasuk isu penanaman ketum.
Katanya isu tersebut harus dilihat secara menyeluruh dan semua pihak perlu menilai baik buruknya terlebih dahulu.
“Tidak semua perkara harus kita tangani dengan fatwa.
“Saya rasa banyak perkara kita harus melihat kebaikan dan keburukannya dalam kerangka banyak aspek, kemudaratan, dari segi kesihatan, struktur negara dan masyarakat ini akan terjejas kalau kenalkan sesuatu polisi dalam isu ketum dan sebagainya,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Majlis Fatwa Kebangsaan diminta mengadakan perbincangan bersama pakar perubatan serta pemimpin masyarakat mengenai penanaman ketum berskala besar seperti dicadangkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, cadangan tersebut dilihat agak sensitif dan boleh menimbulkan kontroversi.
Sementara itu Asyraf berkata isu berkaitan penanaman ketum perlu dilihat secara holistik dan tidak semua perkara harus dibicarakan berkaitan hukum sahaja sebaliknya perlu dilihat masalah dihadapi masyarakat.
“Perlu lihat secara holistik, bukan tangani melalui fatwa semata mata. Harus lakukan satu anjakan paradigma dalam pemikiran kita bahawa tak boleh bercakap soal hukum saja, halal haram dalam menyelesaikan masalah-masalah dihadapi umat dan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal di negara luar.
Zahidi berkata penanaman ketum sebagai alternatif dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil di negara ini, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap getah disebabkan harga komoditi itu menurun ketika ini.
