Most Read
Most Commented
Read more like this

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan perintah mahkamah dalam masa terdekat selepas rayuan untuk menerima rawatan perubatan di Jerman ditolak Jabatan Penjara hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Anwar menulis kepada ketua pengarah jabatan itu, Datuk Omar Muhammad Dan, dan memohon pegawai tinggi itu menggunakan kuasanya bagi membolehkan beliau menerima rawatan sakit tulang belakang di luar negara.

Dalam surat jawapan hari ini, Omar menyebutkan rayuan itu ditolak kerana permohonan itu tidak mematuhi perkara 111 di bawah Peraturan-peraturan Penjara 2000 walau beberapa peruntukan di bawah Akta Penjara membolehkan Anwar dibebaskan.

Sankara Nair, peguam Anwar, memberitahu malaysiakini sebentar tadi, pihaknya akan menfailkan permohonan di mahkamah tinggi minggu ini bagi mendapatkan satu perintah agar Ketua Pengarah itu menggunakan kuasanya di bawah seksyen-seksyen 37, 42 dan 43 Akta Penjara.

"Kami tidak berpuas hati dengan keputusan yang diterima (tadi) dan kami telah diberikan arahan oleh anak guam kami (Anwar) supaya membawa perkara ini ke mahkamah," kata Sankara, sambil menambah surat jawapan itu diterima jam 3 petang.

Seksyen-seksyen 42 dan 43 akta itu memperuntukkan kuasa kepada ketua pengarah untuk membebaskan seseorang banduan dengan jaminan tertentu bagi menerima rawatan, termasuk di luar negara.

Menurutnya lagi, alasan ketua pengarah itu termasuklah rawatan Anwar boleh dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan peralatan perubatan juga boleh dibawa masuk ke penjara.

Bagaimanapun, menurut Sankara, sehingga kini hanya satu alatan perubatan dibekalkan di penjara daripada beberapa jenis alatan perubatan yang dimohon.

"Anwar seharusnya menerima alatan seperti 'ultra bunyi' untuk rawatan perubatannya di penjara tapi alatan itu masih belum diterima," kata peguam itu.

Dalam surat minggu lalu, Sankara berkata Anwar "menderita di penjara, dalam bilik kurungan seorang diri, dan keadaannya sama seperti sebelum dihantar ke HKL untuk rawatan."

"Kami menganggap keadaan ini sebagai satu perbuatan mungkir janji pihak HKL dan pencabulan serius etika perubatan doktor-doktor hospital itu."

Anwar bertegas mendapatkan rawatan sakit tulang belakangnya daripada pakar Dr Thomas Hoogland di Alpha Klinik, Munich.

Bagaimanapun Perdana Menteri, dalam satu pertemuan dengan tiga pemimpin pembangkang 24 Mei lalu, berkata keputusan tidak membenarkan Anwar dirawat di luar negara adalah muktamad.

Anwar pernah dirawat di Hospital Kuala Lumpur mulai 25 November hingga 10 Mei lalu dan dibawa pulang ke Penjara Sungai Buloh selepas menolak tawaran kerajaan untuk dirawat di hospital itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS