Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Walaupun bertudung, ia bukanlah penghalang bagi Siti Fatimah Husna Muslim untuk berentap bersama pelumba lelaki di litar perlumbaan.

Tahun lalu, gadis berusia 25 tahun itu berjaya menewaskan 10 pelumba lelaki dan muncul di tempat pertama dalam kategori Kejohanan Supermoto Malaysia CKD.

Kejayaan itu akhirnya membawa jurutera terlatih itu ke peringkat motosikal cup prix dan kini mengikat kontrak bersama Petronas selama setahun.

Siti Fatimah dalam wawancara dengan Malaysiakini tampil ayu dengan mengenakan tudung berwarna hitam berbaju kemeja T biru tulisan Yamaha.

Jika didengari cara percakapannya yang lembut, orang ramai pasti tidak dapat menjangkakan bahawa dia seorang pelumba motosikal.

Siti Fatimah berkata, beliau mula berjinak-jinak dengan motosikal selepas tamat kuliah pada tahun 2010 ketika usianya 19 tahun.

Katanya abangnya yang merupakan bekas pelumba cup prix tahun 2003 dan membuka bengkel motor di Pandan Perdana telah mengajarnya cara membaiki motosikal dan dalam masa yang sama mengajar gadis kelahiran Kuala Pilah itu cara berlumba.

“Abang dan adik pelumba cup prix pada tahun 2003. Saya cuma ikut apa mereka buat dan saya kutip ilmu dari mereka. Abang kini mengusahakan bengkel dan adik saya masih lagi bermain cup prix.

“Saya nak jadi macam abang saya jadi saya banyak belajar dari dia. Peluang itu saya gunakan sebaik mungkin dan akhirnya disini saya berada sekarang,” tuturnya lembut.

Anak kelima dari enam beradik itu berkata, kejayaan yang diperolehinya pada hari ini adalah berkat usahanya yang tidak pernah henti dan pernah beberapa kali tewas dalam perlumbaan.

“Ketika mula main motor, saya bukan di antara yang terbaik. Saya main tak menang, saya main tak menang dan saya ambil ia sebagai pengalaman.

“Pada 2015, saya berusaha keras dan saya diberi tanggungjawab oleh abang saya untuk bawa jentera yang sangat kuat, segalanya bermula dari situ dan pada tahun itu, alhamdulillah saya juara keseluruhan,” katanya yang kini berentap dalam pasukan Petronas Yamaha CKJ.

Sebelum ini gambar Siti Fatimah bertudung litup telah viral di sosial media dan membuatnya lebih dikenali sebagai ‘rider muslimah’.

Dalam wawancara itu, Siti Fatimah ketawa ketika diajukan soalan berkaitan perasaannya digelar sebagai ‘rider muslimah’.

Katanya, bertudung tidak menjadi penghalang untuknya menyertai sukan lasak itu kerana jika dilihat pekerjaan lain seperti juruterbang yang sinonim dengan lelaki kini sudah mula diisi oleh pekerja wanita.

“Ia bukan perkara baru, macam juruterbang kini sudah ada wanita dan termasuk pekerjaan lain.

“Bagi saya bertudung bukan penghalang buat kaum wanita untuk lakukan kerja yang di dominasi lelaki, yang penting kita kena berani dan kita perlu tahu apa yang kita lakukan serta pandai jaga diri,” katanya sambil ketawa.

Lihat Komen
ADS