NGO Sisters In Islam (SIS) menyambut baik saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengekang pernikahan rakyat Malaysia di sempadan Thailand bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah selepas pulang ke negara ini.
Dalam kenyataan medianya, SIS berkata sudah terbukti kebanyakan perkahwinan di Thailand membawa masalah berbanding kebaikan apabila ramai yang tidak mendaftar perkahwinan selepas pulang ke tanah air.
Data daripada kajian poligami yang dijalankan SIS mendapati, 32 peratus pasangan yang ditemubual tidak mendaftarkan perkahwinan mereka setelah pulang ke Malaysia.
"Perkahwinan secara rahsia di Thailand membawa kesan negatif bukan hanya pada pihak isteri tetapi juga kepada anak-anak daripada perkahwinan tersebut yang tidak akan mendapat hak di sisi undang-undang keluarga Islam di Malaysia," kata kenyataan itu.
Malah, SIS juga mencadangkan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Majlis Agama Islam di Selatan Thailand dengan melakukan pemeriksaan latar belakang pasangan yang hendak berkahwin di Selatan Thailand bagi memastikan status perkahwinan kedua-dua pihak.
Ia bagi mengelakkan kemudaratan kepada isteri dan anak-anak setelah perceraian atau kematian akibat berkahwin secara rahsia.
Selain itu, SIS turut meminta kerajaan menguatkuasakan syarat-syarat berpoligami dalam Undang-undang Keluarga Islam 1984 yang dianggap antara jalan terbaik.
"Selama ini kelonggaran syarat-syarat tersebut setelah pindaan undang-undang keluarga Islam pada 1994 dan 2005. Adalah penganiayaan terhadap isteri-isteri dan anak-anak kerana suami tidak dipertanggungjawabkan untuk berlaku adil terhadap tanggungan mereka.
"Perkahwinan di Selatan Thailand yang kebanyakkan adalah untuk berpoligami secara rahsia adalah amat bertentangan dengan objektif utama perkahwinan dalam Islam," kata kenyataan itu lagi.
Sebelum Jamil dilaporkan berkata, satu mekanisme perlu dibuat bagi menangani isu peningkatan jumlah rakyat Malaysia berkahwin di Selatan Thailand.
Jamil berkata perkahwinan yang tidak disahkan undang-undang akan mengundang banyak masalah terutama kepada isteri dan anak-anak.
Katanya antara kesan perkahwinan yang tidak didaftar atau dirahsiakan ialah anak tidak ada sijil kelahiran, tiada kad pengenalan dan ada juga yang terpaksa dibinkan 'Abdullah' walaupun perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak.
