Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes tembak di Glenmarie: Mahkamah arah cari penyelesaian cara damai
Diterbitkan:  Aug 4, 2016 6:52 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menasihatkan keluarga tiga remaja yang ditembak mati oleh polis hampir enam tahun lalu, polis dan kerajaan supaya mengkaji kemungkinan menyelesaikan kes itu secara damai.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang mempengerusikan panel tiga anggota meminta pihak-pihak dalam saman sivil itu mencari penyelesaian "dalam semangat kesaksamaan dan keadilan" dan memberi tempoh sehingga 1 September untuk berbuat demikian.

Pada hari itu (1 September) mahkamah akan merekodkan penghakiman persetujuan jika pihak-pihak berkenaan bersetuju untuk menyelesaikan kes secara damai dan jika mereka mengambil keputusan sebaliknya, mahkamah akan membuat keputusan pada hari yang sama berhubung rayuan oleh keluarga ketiga-tiga remaja itu.

Saman berhubung dakwaan serangan, memukul dan kecuaian difailkan terhadap polis dan kerajaan oleh keluarga Muhammad Shamil Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22, yang dilaporkan ditembak oleh polis yang bertugas di Glenmarie, Shah Alam kira-kira 4 pagi pada 13 November 2010.

Mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Ogos tahun lealu yang menolak saman sivil mereka. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Panel itu juga disidangi oleh Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Terdahulu, dalam rayuan, Hakim Zawawi meminta pihak-pihak berkaitan sama ada mereka boleh mengkaji kemungkinan untuk mencari penyelesaian secara damai memandangkan ada persoalan yang berlegar di fikirannya berhubung dengan tembakan yang dilepaskan ke arah si mati.

Peguam N Surendran yang mewakili keluarga ketiga-tiga remaja berkenaan berhujah bahawa laporan bedah siasat oleh ahli patologi kerajaan bercanggah dengan kenyataan polis mengenai insiden bahawa mereka menyerbu ke arah polis dengan
bersenjatakan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata laporan bedah siasat menunjukkan bahawa peluru menembusi si mati dari sudut 45 darjah atau di sudut ke bawah dan ini bercanggah dengan kenyataan polis bahawa mereka melepaskan tembakan tanpa menghalakan ke arah si mati apabila si mati dikatakan menyerbu ke arah mereka.

Beliau berkata adalah sukar untuk diterima akal bahawa ketiga-tiga si mati ditembak di bahagian kepala dan dada jika polis melepaskan tembakan tanpa menghalakan sasaran ke arah mereka kerana jika tidak tentu tembakan terkena di bahagian lain tubuh badan mereka.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi mengabaikan laporan bedah siasat kerana pakar-pakar forensik yang mengemukakan laporan tersebut tidak dipanggil sebagai saksi.

Surendran berkata, tiada bukti boleh dipercayai bahawa si mati bersenjatakan parang atau menyerbu ke arah polis dengan parang.

Peguam Kanan Persekutuan Norliza Zulkefli berhujah bahawa mereka tidak boleh mencabar isu berhubung tembakan pada perbicaraan kerana perayu tidak memanggil ahli pathologi untuk memberi keterangan kerana beban terletak kepada mereka
(perayu) untuk membuktikan kes.

Beliau berkata terdapat keterangan lisan oleh polis bahawa si mati terlibat dalam rompakan dan polis terpaksa melepaskan tembakan kerana si mati mengejar mereka dengan parang.

Saman sivil itu difailkan oleh keluarga Muhammad Shamil iaitu bapanya Shapiei Zainal Abidin dan ibunya Norhafizah Mad Razali. Hamidah Kadar dan Norhaliza Tuah selaku ibu dan kakak Mohd Hairul Nizam, dan kedua-dua ibu bapa Muhamad Hanafi iaitu bapanya Omar Abu Bakar dan ibunya Noriah Darus.

Mereka menamakan sebelas defendan dalam saman sivil itu termasuk tujuh pegawai polis, ketua polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Di luar mahkamah, Surendran memberitahu pemberita bahawa beliau akan memaklumkan secara bertulis kepada Jabatan Peguam Negara mengenai cadangan mahkamah untuk mencari penyelesaian secara damai selepas berbincang perkara itu
dengan anak-anak guamnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS