Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis jamin tiada unsur 'melindungi' dalam kes gaduh 11 pelajar
Diterbitkan:  Aug 4, 2016 7:09 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Polis akan memastikan siasatan yang telus dan tiada unsur 'melindungi' dalam kes pergaduhan 11 pelajar dari dua sekolah di Klang pada 27 Julai lepas, seperti yang diviralkan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, DCP Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata hasil maklumat yang diterima pada hari kejadian, polis menahan enam pelajar pada 29 Julai lepas manakala lima lagi pada Sabtu lalu.

"Kertas siasatan kes ini telah pun dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan keputusan dibuat untuk mengenakan pertuduhan terhadap sembilan pelajar terbabit.

"Namun mereka belum lagi dituduh di mahkamah dan kesemuanya dibebaskan atas jaminan polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Mohd Adnan berkata pergaduhan membabitkan dua kumpulan pelajar berumur lingkungan 14 tahun itu tercetus apabila berlaku ejek-mengejek antara mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menerima laporan daripada dua keluarga suspek yang ditahan mendakwa anak mereka telah dikasari dan dicederakan ketika ditahan polis pada hari kejadian.

Sehingga kini, katanya, polis merekodkan percakapan daripada lapan individu bagi membantu siasatan termasuk pihak yang menahan serta menguruskan penangkapan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan berhubung kes ini dijangka siap hari ini dan akan dihantar ke timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut," katanya sambil menambah polis masih menunggu laporan perubatan ke atas pelajar yang mendakwa dirinya dicederakan polis.

Dalam perkembangan lain, Mohd Adnan berkata satu mayat dalam keadaan rentung ditemui di belakang bekas tangki air berdekatan Jalan Bukit Angkasa, Batu Arang, Rawang, pagi tadi.

Katanya polis menerima maklumat kira-kira pukul 8.45 pagi daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat yang tidak dapat dipastikan jantina dan bangsanya.

"Saksi mengatakan mereka terhidu bau busuk semasa dalam perjalanan ke tempat kerja dan apabila diperiksa, mereka melihat objek disyaki mayat yang telah dibakar di belakang bekas tangki air itu," katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS