Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Festival Filem Malaysia (FFM) perlu bermuhasabah'

ULASAN Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke-28 baru sahaja mengeluarkan senarai calon akhirnya pada minggu ini.

Menjangkakan sokongan padu daripada peminat lakonan tanah air, malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku. Sebaik sahaja senarai akhir pencalonan filem dikeluarkan, FFM telah menerima kecaman daripada mereka yang berpengaruh dalam seni.

Antara yang mengeluarkan kenyataan mengecam FFM ialah PENULIS (Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor). PENULIS mengecam FFM mewujudkan pengasingan dalam pengkategorian dan disebut sebagai rasis.

Isu ini membuat Yayasan 1Malaysia tertarik untuk turut sama mengulas tentang apa yang berlaku dalam senarai akhir calon yang dikeluarkan oleh FFM.

Tidak dapat dinafikan bahawa apa yang disuarakan oleh PENULIS ada asasnya. Kita lihat bahawa FFM seolah-seolah sengaja membuat dua kategori bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sedangkan ini adalah Festival Filem Malaysia. Berikut merupakan apa yang disuarakan oleh Penulis dalam kenyataan media mereka pada 3 Ogos 2016 :

"Mengapakah FINAS Malaysia mewujudkan kategori yang rasis seperti Filem Bukan Bahasa Melayu?

Dimanakah FINAS Malaysia dalam memupuk semangat perpaduan dalam Sinema Malaysia? Dimanakah konsep 1Malaysia yang disarankan oleh kerajaan?

Ini Festival Filem Malaysia, bukan Festival Filem Melayu!

Sebagai penulis lakon layar professional, kami melihat pencalonan FFM makin memalukan Negara tahun demi tahun, dan dengan ini kami memohon agar FINAS Malaysia sebagai pengelola acara ini merombak semula mekanisme pencalonan serta penapisan pemilihan pencalonan untuk acara yang sepatuntya menjadi acara kemuncak industri filem Malaysia."

Isu ini seharusnya tidak boleh dipandang remeh. Kita seharusnya sudah tiada pengasingan khasnya hanya kerana perbezaan bahasa dalam filem sedangkan filem di Malaysia bercerita tentang masyarakat Malaysia.

Sedih apabila filem yang berkualiti tinggi dan berfungsi menyatukan rakyat Malaysia seperti filem "Ola Bola" dianggap sebagai bukan filem terbaik untuk kategori bahasa Melayu kerana 60 peratus bahasa yang digunakan ialah bahasa Inggeris.

Ola Bola adalah filem yang menyatu-padukan rakyat Malaysia pada awal tahun ini dengan semangat kesukanan dan kecintaan kepada pasukan bola sepak negara. Kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama tetapi ia diasingkan daripada pencalonan
bersama.

Benar bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang harus kita banggakan dan harus kita dahului berbanding bahasa lain, tetapi jika melihat konteks lain dalam sesuatu pemilihan, FFM perlu adil dalam pencalonan filem berkualiti di Malaysia.

Memalukan apabila filem berkualiti seperti Ola Bola dan Jagat diletakkan lebih rendah taraf kualitinya berbanding filem "Suamiku Encik Perfect 10" dan "Mat Moto – Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit". Adakah kualiti sesuatu filem hanyalah pada nilai kebobrokan masyarakat dan cinta semata-mata?

Walaupun isu yang diketengahkan hanyalah perbezaan dua kategori untuk filem terbaik bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dianggap remeh tetapi ia bukan setakat itu sahaja.

Isu ini seperti telah kembali membawa kita ke zaman penjajahan. Kita sangkakan bahawa kita telah merdeka hampir 59 tahun dan tidak terikat dengan dasar penjajah.

Tapi malangnya, tindakan FFM ini seolah-olah memberitahu bahawa kita seperti masih dalam kelompok tersebut.

Kita seperti sedang dipecah-pecahkan oleh sebab tindakan kita sendiri. Jadi bagaimana kita boleh merdeka jika terus dalam keadaan begini.

Pada hari ini, FINAS, FFM, dan mereka yang di dalam industri seni perlu bermuhasabah diri, terhadap apa yang berlaku. Tindakan merombak semula pencalonan dan memulihkan keadaan adalah sangat diharapkan.

Industri seni Malaysia adalah medium yang paling popular dalam mencipta agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat. Jika isu sebegini tidak mampu diselesaikan maka kita akan terus hidup dalam pengasingan kelompok yang sukar bersatu-padu.

Jangan hilangkan keyakinan masyarakat majmuk negara ini terhadap festival yang berprestij ini. Semoga solusi yang memberi manfaat diambil oleh pihak yang terlibat dan seterusnya dapat membersihkan nama FINAS dan Festival Filem Malaysia
daripada dilabel sebagai rasis.


Nota: ISHAK SAIROZI adalah eksekutif Yayasan 1Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS