Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 melanggar perlembagaan dan perlu dibantah.
Bercakap kepada pemberita di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini, Anwar berkata pihaknya telah mengemukakan dokumen bagi membatalkan akta itu yang membenarkan perdana menteri 'mengambil alih kuasa raja-raja'.
“Yang ni saya ingat kita perlu bantah, (kerana ia) melanggar semangat perlembagaan,” katanya yang berada di mahkamah bagi prosiding pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sebelum ini Anwar memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan bahawa Akta MKN 2016 adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.
Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang MKN daripada melaksanakan kuasanya mengikut akta itu sementara menunggu kes berkenaan diselesaikan.
Sementara itu Anwar ketika diminta mengulas mengenai Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) yang ingin merampas menyaman 1MDB berkata:
“Saya tidak dapat maklumat mengenai ini,” katanya.
Terdahulu DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa diperolehi melalui dana 1MDB.
Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalahgunakan dan aset lain yang terlibat termasuk rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem 'The Wolf of Wall Street'.

