Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia bakal ditenggelami air jika tak ikut garis panduan

Sebanyak 18 peratus daripada Malaysia akan ditenggelami air menjelang tahun 2100 sekiranya negara tidak memenuhi garis panduan Kerangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFCCC), kata
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata peratusan itu meliputi terutama di kawasan pesisiran pantai dan kawasan rendah berpunca daripada peningkatan paras air laut akibat daripada pencairan ais di seluruh dunia disebabkan oleh perubahan iklim.

"Kita perlu melaksanakan dengan jayanya apa yang digariskan dalam kerangka kerja UNFCCC. Setakat ini Malaysia mematuhinya, negara dalam keadaan baik.

Bencana itu akan hanya berlaku jika negara tidak mematuhiny.

"Ini bermakna setiap pihak perlu bekerja keras. Setiap negara seperti
Singapura, Thailand, Vietnam dan Laos perlu memberi kerjasama kerana kita berkongsi atmosfera yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Hutan Mampan Disebabkan Perubahan Iklim 2016 (SFDCC 2016) di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Junaidi berkata seluruh dunia perlu mengambil tindakan berdasarkan garis panduan UNFCCC untuk mengurangkan pelepasan karbon dan untuk melaksanakan pengasingan yang lebih baik.

"Kita perlu melakukan kedua-duanya. Pelepasan karbon perlu dikurangkan dan tahap pengasingan perlu ditingkatkan. Kalau kita tidak berjaya tidak mustahil negara-negara seperti Malaysia dan termasuk Bangladesh akan ditenggelami air, " katanya.

Beliau juga berkata Malaysia menjadi antara negara termaju dalam soal
menangani masalah pembangunan hutan dan banyak negara yang ingin belajar dan mendapatkan maklumat untuk pembangunan hutan di negara mereka.

Selain itu, katanya Malaysia telah berada di peringkat terakhir dalam
memenuhi syarat-syarat yang dibuat oleh UNFCCC.

"UNFCCC akan mengeluarkan prosedur baharu pada Oktober akan datang dan kami sudah membuat persediaan. Jabatan Perhutanan dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) turut bersedia untuk melaksanakannya.

Wan Junaidi berkata di Malaysia jumlah pengasingan karbon dioksida adalah sehingga 18 peratus dan jumlah tersebut sangat besar termasuk dengan usaha kementerian dalam mengurangkan tahap pengeluaran karbon dioksida.

"Sekiranya kedua-dua tiang (teras) ini dijaga dengan baik, kita pasti boleh
mengelakkan daripada berlakunya bencana, bahaya dalam negara, katanya.

Pengerusi SFDCC 2016 Prof Madya Dr Seca Gandaseca berkata persidangan yang julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan 200 penyelidik, saintis dan pembuat dasar daripada pelbagai bidang berkaitan perhutanan daripada 17 negara.

"Objektif persidangan adalah menyediakan platform untuk bertukar-tukar idea dan maklumat dalam kalangan saintis dan pengamal, membincangkan maklumat relevan berkaitan penyelidikan dan pembangunan hutan akibat perubahan iklim dan untuk
menggalakkan kerjasama antarabangsa dan membina rangkaian dalam kalangan mereka," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS