Seorang anggota Parlimen Belia hari ini mencadangkan hukuman Kastrasi Kimia (pengebirian kimia) dikenakan ke atas pesalah pedofilia di negara ini.
Wakil Kedah Mohd Firdaus Ahmad mencadangkan perkara itu pada persidangan Parlimen Belia di Kuala Lumpur ketika membahaskan usul agar kerajaan menambah baik undang-undang sedia ada dan mengambil langkah-langkah drastik mengekang jenayah pedofilia.
Mohd Firdaus berkata hukuman melalui perubatan tersebut boleh memberi impak emosi terhadap individu lain dan mencegah mereka yang berpotensi daripada melakukan jenayah terkutuk itu.
"Pada Mei lalu media melaporkan Presiden Indonesia berkenan meluluskan hukuman kastrasi kimia terhadap pesalah kanak-kanak.
"Begitu juga di beberapa negara lain seperti Korea Selatan, Poland, Rusia dan beberapa negeri di Amerika Syarikat yang telah melaksanakan hukuman ini.
"Hukuman ini merupakan satu cara pemandulan dan boleh menimbulkan rasa takut kepada pesalah-pesalah lain," katanya.
Terdahulu ketika membawa usul berkenaan, wakil Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli mencadangkan agar diwujudkan satu pangkalan data khas bagi pesalah-pesalah pedofilia ini untuk rujukan awam.
Katanya pangkalan data itu yang perlu disediakan secara dalam talian boleh menjadi satu sistem untuk mengesan atau mengetahui latar belakang seseorang pesalah terutama apabila mereka memohon pekerjaan di pusat asuhan kanak-kanak atau sekolah.
"Langkah ini telah dilaksanakan di banyak negara yang juga boleh menjadi rujukan kepada ibu bapa bagi mengawal pergaulan anak-anak mereka dengan individu yang dicurigai," katanya.
Selain itu katanya kerajaan juga perlu menambah baik akta dan undang-undang sedia ada agar hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada pesalah pedofilia.
Usul berkenaan kemudian diluluskan sebulat suara oleh Parlimen Belia.
Semalam, Parlimen Belia meluluskan dua usul iaitu memohon kerajaan meminda semula Akta Seksyen 233 (Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan usul agar kerajaan membuat ketetapan serius usaha mempertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan.
-Bernama
