Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib lawat Dr M di IJN? Itu gambar tiga tahun lalu
Diterbitkan:  Aug 11, 2016 9:32 AM
Dikemaskini: 10:15 AM

Sejak semalam, sekeping gambar menunjukkan Datuk Seri Najib Razak menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad di Institut Jantung Negara (IJN) menjadi popular di media sosial.

Bagaimanapun, gambar berkenaan sebenarnya adalah gambar lama yang dirakam pada tahun 2013 ketika perdana menteri menziarahi bekas mentornya itu di pusat perubatan yang sama.

Mahathir kini dirawat di IJN selepas terkena jangkitan di bahagian dada baru-baru ini.

"Dimaklumkan bahawa berita ini tidak benar sama sekali berlaku sekarang, gambar ini diambil dari lawatan PM Najib ketika Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada tahun 2013.

"Makin gelabah puak-puak sana sampai sanggup menyebarkan berita palsu," tegas laman Facebook Kelab Che Det.

Berita dan gambar Najib melawat Mahathir di IJN tiga tahun lalu itu adalah daripada laporan Bernama yang turut disiarkan media-media tempatan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati berita yang sama hari ini mendapat bacaan tertinggi di laman web Sinar Harian.

Krisis antara kedua-dua pemimpin negara itu sampai kemuncaknya apabila Mahathir mengumumkan keluar Umno dan menubuhkan sebuah parti baru selepas gagal mendesak Najib berundur daripada jawatannya.

Parti baru itu dinamakan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dengan Mahathir bertindak selaku pengerusi, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan perdana menteri dilantik sebagai presiden.

Mahathir sebelum ini mensasarkan serangannya terhadap Najib dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang diterima melalui akaun peribadinya.

Semalam, Mahathir melalui satu tulisan dari IJN, mencabar Najib mengadakan debat terbuka mengenai urus tadbir negara dan meminta ia dipancarkan secara langsung di kaca televisyen.

"Saya dah tua sekarang. Tetapi Alhamdulillah, saya belum lagi nyanyuk. Saya dengan senang hati akan menerima debat terbuka dengan Najib dan penonton mengikutinya menerusi siaran langsung.

"Debat itu hendaklah mengenai pentadbiran negara. Saya mungkin kalah. Wang boleh menang. Biar rakyat Malaysia menilai, tidak TV3 atau NST atau penyokong saya sendiri," kata Mahathir dalam blognya.

Najib masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tawaran debat tersebut.

Lihat Komen
ADS