Most Read
Most Commented
Read more like this

Pengaruh surat layang dalam politik Umno cukup hebat. Ia sudah menjadi satu budaya yang tidak mungkin dapat dihakis lebih-lebih lagi apabila ia menjadi senjata ampuh untuk membunuh kerjaya politik seseorang.

Dalam politik parti itu, sudah ramai pemimpin menjadi mangsa surat layang. Paling menonjol, kes bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mangsa terbaru surat layang kini pula bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar.

Melalui fitnah atau "kisah benar" yang disebarkan melalui surat layang, kedua-dua pemimpin besar Umno ini tumbang.

Sungguh aneh, surat layang yang tidak diketahui sumber dan penulisnya boleh menjadi bahan rujukan utama dalam politik Umno. Beberapa tahun dulu, isu surat layang menjadi satu topik besar dalam mesyuarat dan perhimpunan parti itu.

Pemimpin Umno mengecam amalan menulis dan menyebar surat beracun ini dan mahu tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembikinan dan pengedarannya. Bagaimanapun isu itu akhirnya mati begitu sahaja. Surat layang terus juga melayang-layang mencari mangsanya.

Dalam kes Anwar, surat layang bertajuk "Talkin untuk Anwar" disebarkan pada 1997. Pada mulanya, tiada siapa pun mengetahui penulisnya. Ia menjadi satu misteri hinggalah apabila bekas dipecat pada 2 September 1998, barulah nama penulisnya diketahui umum.

Kandungan tulisan memburukkan Anwar itu bukan rahsia lagi, ia sudah menjadi bahan bukti di mahkamah. Dalam kes Abu Hassan yang dikenali sebagai "Mr Clean," penulis surat itu masih lagi misteri.

Surat layang setebal 12 muka surat itu menuduh Abu Hassan mempunyai hubungan sulit dengan adik iparnya hingga melahirkan seorang anak luar nikah itu. Ia telah disebarkan kepada perwakilan Umno pada awal Mei lalu ketika perhimpunan agung parti itu berlangsung. Kesannya, Abu Hassan kecundang dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno.

Tidak cukup dengan cara sebaran ketika itu, surat itu kemudiannya dibawa ke Jakarta oleh dua orang yang mengakui ahli Umno untuk diberikan kepada wartawan akhbar Jawa Pos . Akhbar mingguan itu melaporkan berita berasaskan surat layang tersebut dan menyiarkannya pada 7 Julai lalu.Kemudian, laman-laman web tempatan memetik laporan akhbar berkenaan untuk menghentam Abu Hassan.

Akhirnya "Mr. Clean" yang pernah menangis semasa ditekan dalam isu pengubahsuaian kediaman rasminya - menelan belanja RM5 juta pada tahun 1997 - berasa cukup terhimpit dan akhirnya meletakkan jawatan yang baru disandang tiga tahun.

Walaupun beliau memberikan alasan "kesihatan dan keluarga" sebagai alasan peletakan jawatannya, namun rakyat tahu punca utamanya ialah tuduhan 'skandal seks' dalam surat layang tersebut.

Sukar bagi orang ramai terutamanya rakyat Selangor dan ahli Umno untuk menerima bulat-bulat alasan tersebut, khususnya apabila beliau tidak bersungguh-sungguh menafikan tuduhan dalam surat itu.

Sepatutnya Abu Hassan membersihkan namanya dengan mengemukakan dokumen perkahwinan adik iparnya dengan Abu Hasan Tan Abdullah dan membuat ujian DNA, bukannya meletakkan jawatan.

Modus operandi dalam pengedaran surat layang ini cukup licik. Penulis dan konco-konconya tahu surat tersebut tidak laku dalam media tempatan, lantas mereka membawanya ke Jakarta. Akhbar asing tidak takut untuk menyiarkannya.

Taktik ini nampaknya berkesan, lebih-lebih lagi dalam era siber sekarang. Ia juga menjadi lebih berkesan apabila rakyat tidak lagi membaca atau sentiasa meragui kewibawaan media arus perdana.

Oleh itu, perancang dan penulis surat layang dalam Umno dijangkakan akan mengulangi kaedah yang pernah digunakan oleh musuh Abu Hassan.

Begitulah bisa akibat surat layang dalam Umno.

Kebenaran kandungannya tidak penting kerana ahli-ahli Umno dan pemimpinnya lebih cenderung mempercayai cerita-cerita sensasi, tahyul, dongeng dan fitnah. Amalan menggunakan surat layang sebagai senjata politik ini akan terus subur dalam Umno kerana pemimpin utamanya turut merestuinya.

Tanpa restu mereka, tidak mungkin gara-gara senaskhah surat layang, Anwar akhirnya dipecat, didakwa di mahkamah dan dipenjara sejumlah 15 tahun.

Bagaimanapun, ancaman surat layang ini tentunya menimbulkan satu kebimbangan dalam Umno lebih-lebih lagi bagi pemimpin atau bakal pemimpin yang mempunyai rekod buruk. Bagi pemimpin yang kaki judi, kaki perempuan, korup dan menyalahgunakan kuasa, hari-hari yang berlalu akan dibayangi oleh pelbagai surat layang berbisa yang boleh menggugat kerjaya politik masing-masing.

Oleh itu berhati-hatilah, terutamanya mereka yang rapat dengan anda. Hanya teman baik atau saudara terdekat yang mempunyai laluan kepada segala dokuman rahsia dan peribadi anda.

Rahsia Abu Hassan tidak akan terbongkar dalam surat layang jika bukan akibat perbuatan khianat individu (atau individu-individu) yang rapat dengannya. Berhati-hatilah sebelum kedudukan, kuasa dan kerjaya anda melayang.

Surat layang terus mencari mangsanya. Siapa agaknya selepas ini?


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih terbuka dan berkesan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS