Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mansuh 3 kategori rugikan pembikin filem bukan BM'

Keputusan memansuhkan tiga kategori dalam pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini dianggap lebih mendatangkan banyak kerugian kepada pembikin yang menghasilkan filem bukan dalam bahasa Malaysia.

Pengkritik dan pengarah filem Mansor Puteh berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berhubung isu pencalonan FFM ke-28.

Secara peribadi, Mansor melihat pengasingan kategori sebenarnya membuka jalan kepada filem bukan bahasa Malaysia untuk meraih anugerah.

“Jangan memandang rendah kepada filem bahasa Malaysia, kerana walaupun ia membawa tema gangster, sekurang-kurangnya ada mesej yang boleh dimanfaatkan.

“Yang akan rugi di sini adalah filem bukan bahasa Malaysia, kerana yang memilih pemenang adalah juri yang mengikut peraturan ditetapkan. Siapa boleh memaksa mereka? Menteri pun tidak (boleh memaksa).

“Sekarang kemungkinan besar untuk mereka menang mungkin sudah tiada kerana semua kategori sudah disatukan,” katanya kepada Malaysiakini.

Kata-kata Mansor itu merujuk kepada Jagat - filem yang ketika ini sering menjadi bualan ramai dan diramal membawa pulang trofi.

Pengarah Seman

Semalam Salleh mengumumkan penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik FMM ke-28 pada September ini dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Mansor adalah seorang bekas penuntut di Universiti Columbia, New York dalam bidang perfileman pada 1978.

Tulisan dan kritikannya banyak tersiar dalam akhbar tempatan, manakala filem pertama arahan Mansor adalah Seman yang dihasilkan pada 1987.

Apabila ditanyakan mengenai kategori khas Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pula, kata Mansor, ia diibaratkan dunia sudah terbalik.

“Sepatutnya perkara itu harus diutamakan, sebaliknya kini ia sudah semacam anugerah penghargaan daripada juri.

“Anugerah itu patut diberikan kepada filem bukan bahasa Malaysia, tapi ini sudah terbalik.

“Dari segi linguistik ia mendatangkan kekeliruan. Apa beza Filem Bahasa Malaysia terbaik dengan Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan?” soalnya.

Sementara itu, penulis skrip dan pengarah Al Jafree Md Yusof pula berkata keputusan dibuat Salleh membuatkan seluruh Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) gembira.

“Kami memang menentang segregasi (pengasingan). Apabila menteri (gambar) umumkan Anugerah Filem Terbaik terbuka untuk semua, kami apa lagi, sangat gembira kerana filem yang wajar bertanding dalam kategori filem terbaik mendapat haknya.

“Apa yang saya maksudkan adalah Ola Bola dan Jagat,” katanya.

Jafree adalah penulis skrip untuk Tulus Ikhlas, Paloh dan P Ramlee the Musical, dia juga menjadi pengarah bersama dengan Dain Said bagi Senandung Malam.

Namun, katanya, kegembiraan itu hanya tercapai separuh sahaja tidaklah secara menyeluruh.

Jafree masih tetap tidak berpuas hati apabila Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan diwujudkan sebagai kategori khas.

Jafree berpendapat masih terdapat ‘keresahan’ dalam kalangan pihak tertentu terhadap kebolehan filem bahasa Malaysia untuk membolot kemenangan.

“Sebab apa masih hendak letakkan Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan?

“Adakah risau filem kita (Melayu) tidak boleh menjadi yang terbaik secara keseluruhan?

“Kalau menang, menanglah. Kalau tidak, tidaklah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS