Firma yang dianugerahkan konsesi bagi membina terowong dasar laut Pulau Pinang, Consortium Zenith-BUCG ( CZBUCG ) memfailkan saman undang-undang terhadap Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Inilah saya dapat selepas semuanya. CAT telah mati. CAT betul-betul mati. CAT benar-benar mati, " kata Loo semasa sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini, selepas mengumumkan saman tersebut kepada media.
"Saya kata tiga kali kerana adalah sangat penting untuk menyedari CAT (Cekap, Kebertanggung jawaban dan Telus) yang menjadi slogan kerajaan negeri adalah tidak bermakna dan sia-sia sekarang.
"Kerajaan negeri semasa memilih untuk bersama syarikat atau pemaju kroninya dan tidak dengan rakyat Pulau Pinang.
"Di mana kamu, kerajaan negeri pimpinan DAP ketika syarikat pemaju mengambil tindakan terhadap rakyat?" tanya Loo.
CZBUCG menyaman Loo ekoran kenyataan beliau pada 23 Jun yang lalu dengan dakwaan telah secara melulu menuduh firma berkenaan mengaut 'keuntungan tidak munasabah daripada kajian kemungkinan, reka bentuk terperinci dan tiga lebuh raya bagi terowong dasar laut'.
Loo enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
Sebelum ini, Loo mendedahkan 'episod satu daripada skandal terowong bawah laut Pulau Pinang' dengan mempersoalkan kos sebenar kajian kemungkinan dan reka bentuk terpeinci bagi projek itu.
Loo mendakwa kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci bagi terowong dasar laut dan tiga lebuh raya itu hanya berharga RM90 juta (AS$22 juta) dan bukan RM305 juta seperti didakwa kerajaan Pulau Pinang.
Jumlah RM90 juta itu, katanya, telah didedahkan di laman web bahasa Cina, China Railway Construction Group, salah satu daripada rakan kongsi Consortium Zenith BUCG-(CZBUGG), firma yang mendapat kontrak untuk membina terowong dan tiga jalan.
Syarikat itu mendedahkan jumlah tersebut apabila menandatangani perjanjian bagi projek dengan CZBUCG pada bulan Oktober 2013, kata Loo lagi.
"Apa yang terjadi kepada baki RM215 juta," soal beliau.
Sebelum ini, Loo mencabar Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng untuk berdebat mengenai "isu terowong dasar laut dan demokrasi" tetapi cabaran tersebut ditolak.
