Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Syarikat teksi maki Spad, ugut sokong parti Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 12, 2016 5:47 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Sebuah syarikat teksi premium hari ini menyuarakan rasa berangnya terhadap rancangan kerajaan menghalalkan perkhidmatan pengangkutan Uber dan Grab Car.

Penasihat Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, sejak pembentukannya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) gagal mentransformasikan industri teksi tanah air.

“Spad ini sangat malas, bodoh dan tidak ada otak.

“Oleh kerana mereka sangat bodoh dan tidak ada otak, mereka sangat malas, mereka buat kabinet (juga) nampak cukup bodoh, tidak ada otak dan cukup bodoh,” katanya seperti dilaporkan KiniTV.

Semalam dilaporkan keperluan Spad untuk mengawal konsep teksi elektronik menjelang akhir tahun ini bakal membuka jalan kepada pengesahan perkhidmatan Uber dan Grab di sisi undang-undang, seperti diputuskan kabinet.

Menurut The Sun Daily, kabinet percaya langkah itu penting untuk manfaat rakyat dan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan pada sidang parlimen November ini.

Kabinet membuat keputusan itu selepas Spad dilaporkan membentangkan 11 inisiatif mengenai perkhidmatan teksi dan perkongsian perjalanan.

Inisiatif ini termasuk menyusun semula industri teksi konvensional dan meluaskan perkhidmatan pengangkutan dengan menghalalkan perkhidmatan Uber dan Grab, menurut harian tersebut.

Spad dalam Program Transformasi Industri Teksi yang dikemukakan baru-baru ini antara lain menjelaskan keperluan membenarkan Uber dan GrabCar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Bukit Bintang jadi bukti

Dalam sidang media di Ampang hari ini, Shamsubahrin juga menolak dakwaan 80 peratus penduduk Malaysia mahukan perkhidmatan berasaskan aplikasi telefon bimbit itu.

“Jadi kalau 80 peratus yang dikatakan oleh Spad, rakyat Malaysia yang nak gunakan Uber dan Grab Car, bermakna yang berjalan secara haram sekarang dah penuh. Teksi patut tak berjalan.

"Jangan bohong pada kabinet hanya kerana kamu sokong Uber dan Grab Car,” katanya.

Shamsubahrin menegaskan, penguatkuasaan adalah masalah utama dalam industri teksi negara yang masih gagal diselesaikan Spad.

Beliau memberikan contoh apa yang berlaku di kawasan pelancongan Bukit Bintang, yang digelar segi tiga emas Kuala Lumpur, menyaksikan teksi haram dan “ulat” bergerak bebas.

“Bukit Bintang dah buktikan Spad gagal,” katanya.

Sementara itu, Shamsubahrin juga mengugut pemandu teksi akan memilih parti serpihan Umno yang baru ditubuhkan jika perkhidmatan Uber dan Grab Car dihalalkan di negara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mendaftarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilihat menyasarkan anggota Umno yang tidak puas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Jika Uber dan Grab Car dihalalkan akhir tahun ini, kita akan 100 peratus sokong parti baru, iaitu BERSATU.

“Kami akan sokong Tan Sri Muhyiddin. Kami harap Tan Sri Muhyiddin akan sokong industri dan buat transformasi pada industri ini,” katanya.

Difahamkan Pengerusi Spad Tan Sri Syed Hamid Albar akan mengadakan sidang media bagi mengulas isu itu pada minggu depan.

Lihat Komen
ADS