Anggota Dewan Negara Perak kini lengkap dengan pengisian dua jawatan raja bergelar negeri oleh Jawatankuasa Penasihat Diraja.
Ia melibatkan dua kedudukan yang sebelum ini belum diisytihar, iaitu Raja Kecil Tengah dam Raja Kecil Bongsu.
Menurut sumber istana Perak, kedua-dua pangkat itu telah diisi dari keturunan sultan Perak ke-18, iaitu Raja Iskandar Raja Ziran @ Raja Zaid dan Raja Izuddin Chulan Raja Zainal Azman Shah.
Di Perak, sultan dilantik berdasarkan sistem kenaikan pangkat, bukannya mengikut sistem turun temurun daripada raja pemerintah kepada puteranya.
Sistem ini bermula dengan pelantikan sebagai Raja Kecil Bongsu, diikuti Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Sulung, Raja Kecil Besar, Raja Di Hilir, Raja Muda dan seterusnya sultan Perak.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, seorang waris Temenggung, Mohamad Fuad Othman (gambar), 63, berharap dua kekosongan raja bergelar yang belum diisytihar diberi kepada waris sultan ke-18 dan ke-16 Perak.
Mohamad Fuad berkata permintaan itu selari dengan keutamaan dua keturunan itu seperti dinyatakan dalam Fasa 7(1)(2) dan Fasa 8(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
Sebelum ini, pernah berlaku pertikaian takhta kesultanan Perak tetapi isu itu berlalu selepas Sultan Nazrin Shah ditabal sebagai sultan ke-35 dalam upacara penuh istiadat yang diwarisi sejak kesultanan Melaka.
Baginda ketika menjadi Raja Kecil Besar sebelum ini didakwa melangkau giliran selepas Raja Muda Raja Ahmad Siffudin Sultan Iskandar Shah dan Raja di Hilir Raja Ahmad Hisham Abdul Malek atas faktor tertentu.
Persoalan ini telah dibangkitkan melalui tulisan-tulisan di Internet. Antara yang pernah menulis perkara ini ialah penulis politik terkenal Syed Hussien Alattas.
Sumber istana ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas isu lain berkaitan perkara itu.
